KUALA LUMPUR: Rakyat di negeri Melaka sebenarnya masih belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung hari ini.

Menurut Pesnyarah Kanan Universiti Malaya Dr Muhammad Tawfik Yaakub, ia sekali gus menyaksikan peratusan pengundian pada PRN Melaka rendah sepertimana yang dijangkakan sebelum ini.

“Rakyat di negeri Melaka sebenarnya tidak bersedia dengan pilihan raya kali ini. Ia adalah kerana ia (PRN Melaka) terlalu mengejut dan, bagi saya, mereka tidak melihat bahawa pilihan raya (dilangsungkan) dalam keadaan secepat ini. Ini sebenarnya menyebabkan kadar peratusan keluar undi sampai sekarang sangat rendah.

“Bagi saya juga, ada faktor-faktor luar jangka yang mempengaruhi keputusan petang ini nanti. Kita lihat faktor utama yang menyebabkan pengundi-pengundi masih lagi tidak keluar mengundi adalah iaitu faktor keselamatan kesihatan," jelasnya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Jelas beliau, faktor tersebut mengatasi segala kempen dan juga saranan serta jaminan yang diberikan oleh parti politik dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan pengundi-pengundi di Melaka menunaikan tanggungjawab.

Menurutnya, daripada pemerhatian semasa yang dilakukan sepanjang hari ini, menunjukkan aliran keluar dalam kalangan pengundi di negeri itu terlalu perlahan berbanding sasaran peratusan yang diletakkan.

Ia katanya, menunjukkan bahawa pengundi di Melaka ketika ini mengambil pendekatan yang sangat berhati-hati.

Tambahnya, semua pihak tidak boleh menolak fakta yang menunjukkan bahawa sebahagian besar rakyat sebenarnya sudah bosan dan meluat dengan situasi politik semasa tanah air, bukan sahaja membabitkan Melaka malah di peringkat Persekutuan.

Jelasnya, rakyat sukar menerima bahawa mereka sering dipertaruhkan dan diheret ke kancah pertarungan dan kepentingan politik kepartian yang ada ketika ini.