KUALA KEDAH: Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau menegaskan bahawa parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan memfokuskan kepada mencapai kemenangan dan merampas negeri Pulau Pinang terlebih dahulu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum perbincangan mengenai jawatan Ketua Menteri dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan bahawa dirinya adalah calon Ketua Menteri daripada PN sekiranya gabungan berkenaan berjaya menawan Pulau Pinang kelak.

Keputusan itu menurutnya adalah bagi memastikan kesilapan sama yang dilakukan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) tahun 2008 sebelum ini sehingga menyebabkan Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP buat kali pertama, berulang.

"(Dari) semalam saya umum jangan kita bincang siapa yang akan menjadi Ketua Menteri (terlebih dahulu), (kerana) kita (kena) menang dahulu, baru kita bincang siapa sesuai jadi Ketua Menteri di Pulau Pinang,

"(Hal ini perlu) bincang (antara komponen PN) dahulu, janganlah (pula ada yang) bangkitkan isu (perlu) ada orang Melayu jadi Ketua Menteri, orang Cina atau orang India (untuk jawatan itu), yang ini tidak penting lagi (untuk ketika ini),

"Saya tak nak kelemahan yang kita hadapi pada tahun 2008 itu berulang sekali lagi, oleh itu saya berikan arahan jangan bincang lagi jawatan Ketua Menteri, memang dulu, dapat mandat daripada rakyat barulah bincang," katanya.

Lau berkata demikian ketika sidang media selepas Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Peringkat Negeri Kedah di Jalan Kuala Kedah malam tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pemilihan parti itu yang akan diadakan bulan hadapan sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada persiapan Gerakan bagi menghadapi PRN.

Namun, semua ahli Gerakan diingatkan untuk lebih memberikan fokus kepada PRN sekaligus dapat mengurangkan impak yang akan diterima daripada pemilihan akan datang.

Semalam, Presiden Gerakan itu mengesahkan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang.

Lau berkata beliau berhasrat bertanding di satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Seberang Perai.

Untuk rekod Pulau Pinang memiliki 40 kerusi DUN dan pada (PRU14), Pakatan Harapan memenangi 37 kerusi termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersamanya manakala Barisan Nasional memenangi dua kerusi dan Pas satu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata kerajaan negeri bercadang membubarkan DUN Pulau Pinang pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.