SEREMBAN: Beberapa siri laporan polis terhadap pimpinan Kerajaan Perpaduan akan dibuat bermula hari ini atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan dan jentera kerajaan bagi tujuan kempen pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard berkata, siri laporan itu akan digerakkan dengan kerjasama Proklamasi Orang Melayu (POM) Negeri Sembilan di setiap kawasan Parlimen bermula di Seremban dan Rembau.

“Kita melahirkan rasa kesal penggunaan jentera kerajaan oleh parti pemerintah di peringkat negeri atau Pusat.

"Pemberian di masa pilihan raya merupakan rasuah dan lebih parah kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam majlis di Terengganu," katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.

Selain itu turut dilaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan dana kerajaan untuk menginap di hotel ketika berkempen di Langkawi menerusi tempahan 15 bilik hotel bernilai RM3,505.

Dalam pada itu Badrul Hisham turut mempelawa semua pengundi di negeri ini menyertai protes PRN bagi menterjemahkan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan.

Beliau menjelaskan, PRN Negeri Sembilan boleh dijadikan platform kepada rakyat untuk meluahkan perasaan mereka dalam isu-isu berkaitan khususnya isu peningkatan kos sara hidup.

"Kerajaan hari ini ada kepincangan dan ada perasaan tidak puas hati yang hanya boleh diterjemahkan dengan rungutan, tetapi realitinya melalui proses pilihan raya,” ujarnya.

Sementara itu, susulan Penyelaras POM Negeri Sembilan, Mohamed Hafis Baharuddin yang bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, jawatan beliau secara automatik terbatal.

Oleh yang demikian, Timbalan Penyelaras POM Negeri Sembilan, Zool Amali Hussin kini diberi peranan untuk memangku tugas berkenaan. - Sinar Harian