RANTAU: Jadual tugas rasmi yang padat menanti Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sejurus selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, dengan beberapa komitmen diplomatik antara negara dijadualkan bermula minggu hadapan.
Menurut Mohamad, beliau dijangka menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja pada 4 Ogos ini sempena Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (Joint Commission Meeting) Malaysia-Kemboja.
Pada Selasa pula, Mohamad Hasan sepatutnya menghadiri mesyuarat tergempar negara-negara Arab dan Islam di Amman, Jordan bagi membincangkan isu pencerobohan serta keganasan Israel di Masjid Al-Aqsa.
Bagaimanapun, beliau berkata tugasan itu diwakilkan kepada Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha di Wisma Putra, Datuk Nadzirah Osman.
“Beliau arif dan mahir tentang soal Palestin ini kerana saya tak sempat nak pergi sebab ada urusan.
“Saya juga dijadual menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Laos yang juga Menteri Luar bagi satu lagi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama, Malaysia jadi tuan rumah.
“Macam-macam kerja, banyak lawatan diplomatik kami akan terima dan banyak juga saya perlu keluar.
“Kerja di Wisma Putra ini dalam keadaan geopolitik dunia yang tak menentu, memerlukan banyak perundingan, terutamanya mesyuarat yang bukan dijadualkan, mesyuarat tergempar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di S.R.J.K (C) Chung Hua bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, sekitar jam 8.50 pagi hari ini.