Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Anthony Loke yakin pengundi matang buat keputusan

 Anthony Loke
Loke membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C), Kelpin, Seremban, pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke yakin peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini mampu mencapai antara 70 hingga 75 peratus berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan sambutan menggalakkan daripada pengundi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP dan Pengerusi  DAP Negeri Sembilan berkata, jumlah pengundi yang keluar mengundi dijangka terus meningkat sepanjang hari.

“Walaupun ini adalah merupakan PRN, Pilihan Raya Negeri, tapi saya yakin jumlah peratusan kita pada hari ini akan bertambah dan kita harap supaya seperti PRN yang lepas-lepas tidak kurang daripada 70 ke 75 peratus.

“Berdasarkan kepada perkembangan terkini, saya yakin jumlah pengundi yang akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari ini.

“Pilihan raya kali ini adalah sangat penting bagi rakyat Negeri Sembilan untuk masa depan negeri, masa depan rakyat, “ katanya ketika ditemui media selepas membuang undi sekitar 1130 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C), Kelpin, di sini, hari ini.

Loke berkata, proses pengundian setakat ini dari laporan yang beliau perolehi lancar dengan kehadiran pengundi seawal jam 8 pagi menunjukkan peningkatan berbanding peratusan PRN 2022

Menurutnya, jumlah peratusan pengundian yang tinggi memberikan isyarat rakyat berpartisipasi dengan sihat dalam amalan demokrasi.

Dalam masa sama, beliau menyarankan pengundi datang awal ke pusat-pusat mengundi kerana dijangkakan hujan akan melanda di beberapa kawasan di Negeri Sembilan pada waktu petang ini.

Loke turut menyeru semua pengundi di semua DUN di Negeri Sembilan supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

PRN kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Loke dengan calon Barisan Nasional (BN), John Siow Kong Choon.

Pada PRN 2022 Loke memenangi kerusi DUN Chennah dengan majoriti 2,200 undi mengalahkan calon Perikatan Nasional , Rosmadi Ariff.

Sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran dibuka serentak bermula 8 pagi, membolehkan 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan menentukan kerajaan negeri untuk penggal akan datang.
 

Must Watch Video

Advertisement