KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan menempatkan pegawai Unit Antidadah Sempadan (UAS) di dua pintu masuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura menjelang pengoperasian perkhidmatan itu pada 31 Dis ini.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata dua lokasi berkenaan ialah Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Chagar, Johor dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North, Singapura.
Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara AADK dan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura di ibu negara, hari ini.
“Pembukaan perkhidmatan RTS Link bakal meningkatkan pergerakan rentas sempadan secara signifikan, sekali gus menuntut koordinasi dan kesiapsiagaan yang mantap daripada agensi penguatkuasaan kedua-dua negara demi memastikan persekitaran yang selamat dan bebas daripada ancaman dadah.
“Sesi perbincangan ini menyediakan platform penting untuk AADK dan CNB memperincikan susunan operasi, mekanisme penyelarasan pegawai, serta saluran komunikasi pantas di pintu masuk utama, iaitu ICQS Bukit Chagar di Johor dan CIQ Woodlands North di Singapura,” katanya dalam kenyataan.
Ruslin berkata mesyuarat yang dipengerusikannya bersama-sama Timbalan Pengarah (Operasi) CNB Aaron Tang itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan operasi, khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan sempadan menjelang pengoperasian RTS Link.
Kedua-dua agensi turut meneliti perkembangan trend baharu ancaman dadah rentas sempadan yang semakin kompleks, termasuk penggunaan teknologi dan platform dalam talian, kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) serta modus operandi penyeludupan terkini.
Beliau berkata kejayaan kerjasama dua hala itu tidak hanya diukur melalui perbincangan rasmi, malah juga menerusi tindakan susulan yang konkrit dan praktikal yang dilaksanakan oleh pasukan operasi kedua-dua belah pihak.
“AADK kekal komited untuk memperkasakan hubungan baik dalam aspek penguatkuasaan bersama agensi serantau demi melindungi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara daripada ancaman penyalahgunaan serta penyeludupan dadah,” katanya.
-- BERNAMA