Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: BN bantu gerak kerja calon PN di kawasan persefahaman, bukan gabungan – Tok Mat

Mohamad Hasan
Mohamad berharap jentera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Negeri Sembilan dapat saling membantu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

REMBAU: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan dapat saling membantu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.

Beliau berkata, ia berdasarkan persefahaman yang dicapai antara BN dan PN yang masing-masing meletakkan 25 dan 11 calon sekaligus melengkapkan ‘puzzle’ 36 kerusi DUN di negeri itu.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan, pendekatan itu bukan bermaksud BN dan PN bergabung, sebaliknya, ia merupakan persefahaman bagi memastikan usaha mendapatkan sokongan pengundi dapat dimaksimumkan.

“Kita BN-PN bukannya bergabung apa-apa yang mana persefahaman macam di Johor pun begitu juga.

“Jadi saya harap di Negeri Sembilan (jentera) kita dapat bantu membantu agar usaha untuk kita dapat sokongan daripada pengundi dapat dimaksimumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRN Negeri Sembilan di Dewan Seri Rembau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hasan berkata, pendekatan sama turut pernah dilaksanakan sebelum ini termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mohamad berkata, jentera BN perlu menjalankan gerak kerja secara tersusun dan teratur sepanjang tempoh kempen bagi memastikan sasaran parti dapat dicapai.

BN sebelum itu mengumumkan akan bertanding di 25 kerusi DUN, manakala PN pada Khamis melengkapkan pembahagian kerusi apabila mengumumkan 11 calon.

Pengumuman itu sekali gus melengkapkan agihan kesemua 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Must Watch Video

Advertisement