Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: BN, PN Seremban nafi video tular calon Ampangan mahu jadi MB

Sumber: Astro AWANI
Rosmin menunjukkan kandungan video palsu yang cuba memburukkan nama Mohamad Rafie. -Gambar/Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Seremban menolak dakwaan yang tersebar menerusi video tular kononnya calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek, menyatakan hasrat mahu dilantik sebagai Menteri Besar.

Dalam rakaman video berkenaan, Mohamad Rafie didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menganggap beliau sebagai satu aset, selain mendakwa masyarakat luar melihatnya sebagai seorang pemimpin yang baik.

Yang Dipertua Pas Seremban, Rosmin Adam, ketika membacakan kenyataan bersama berkata, pihaknya memandang serius penyebaran klip video itu yang disifatkan sebagai cubaan memburukkan reputasi Mohamad Rafie.

"Pihak kami berpandangan penyebaran video tersebut berkemungkinan bertujuan mencetuskan perpecahan antara BN dan PN, khususnya berkaitan pemilihan calon bagi jawatan Menteri Besar.

"Kami turut mengesan video berkenaan disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp, termasuk melalui mesej dan status oleh beberapa individu," katanya pada sidang media bersama, di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop Adam.

Dalam pada itu, Rosmin turut menafikan dakwaan yang terkandung dalam satu lagi video tular yang mengaitkan Mohamad Rafie dengan aktiviti pengagihan wang tunai kepada pengundi serta pembelian undi.

Menurut beliau, BN dan PN sama sekali tidak terlibat dalam sebarang bentuk pemberian wang atau pembelian undi sebagaimana yang didakwa dalam video tersebut.

Sehubungan itu, katanya, dua laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan, selain berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyiasat penyebaran kandungan berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement