Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Jangan sentuh 3R, terima keputusan pilihan raya - PDRM

[TB]_Kesiapsiagaan PDRM, PRN N9 1_ASTRO AWANI
Datuk Alzafny Ahmad berkata, peringatan itu bagi menjamin proses demokrasi berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan semua parti politik termasuk calon dan penyokong supaya memastikan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bebas isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, peringatan itu bagi menjamin proses demokrasi berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni.

Tambahnya, peringatan itu telah disampaikan kepada wakil parti politik menerusi sesi taklimat keselamatan yang diadakan bagi menjelaskan aspek pematuhan undang-undang sepanjang tempoh PRN.

“Semasa proses penamaan calon dan juga tempoh berkempen, diharapkan semua parti politik, calon serta penyokong supaya mengelakkan sebarang bentuk provokasi.

“Antaranya perarakan yang tidak dibenarkan, penyebaran berita palsu, fitnah, ucapan berbentuk kebencian serta kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Ini termasuk ceramah, bahan kempen, kenyataan media ataupun sebarang bentuk hantaran di media sosial yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja,” jelasnya.

Alzafny turut menyeru semua pihak supaya menghormati proses demokrasi dan menerima keputusan pilihan raya dengan matang.

“Selepas keputusan dimaklumkan, semua pihak juga diseru untuk menerima keputusan dengan penuh kematangan.

“Gunakan saluran perundangan yang disediakan sekiranya mempunyai sebarang bantahan... jangan ambil tindakan yang boleh menjejaskan keamanan ataupun ketenteraman awam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya PDRM menggerakkan seramai 4,788 pegawai dan anggota bagi memastikan proses pengundian PRN Negeri Sembilan berjalan lancar, aman dan selamat.

Katanya, bagi tempoh berkempen, PDRM Negeri Sembilan akan menggunakan keseluruhan kekuatan  kontinjen iaitu seramai 1,685 pegawai dan anggota.

Beliau berkata, PDRM juga mengenal pasti kawasan hotspot dan flashpoint bagi membolehkan pemantauan lebih rapi dilakukan.

“Antara yang dikenal pasti adalah di Nilai, Seremban, Jempol dan Port Dickson,” jelas Alzafny.

Must Watch Video

Advertisement