SEREMBAN: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) disifatkan sebagai bukti jelas bahawa rakyat memilih kestabilan politik dan kepimpinan yang mampu mentadbir negeri untuk kepentingan semua lapisan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan yang memberikan mandat melebihi dua pertiga itu menunjukkan rakyat daripada pelbagai kaum meletakkan kepercayaan kepada persefahaman BN dan PN untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
Menurut beliau, pengundi Melayu, Cina, India, Orang Asli dan kaum-kaum lain telah membuat pilihan yang jelas dengan menolak politik berteraskan kebencian serta sentimen perkauman.
“Yang pentingnya rakyat sedang menunggu parti mana yang boleh terus memimpin rakyat demi kebaikan semua masyarakat pelbagai kaum dan bangsa di Negeri Sembilan.
“Rakyat menolak unsur-unsur kebencian dan rakyat juga menolak unsur berkaitan perkauman,” katanya kepada media di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini, pada Sabtu.
Jalaluddin berkata, beliau amat bersyukur dan terharu dengan mandat besar yang diberikan rakyat, malah mengakui tidak menjangkakan kemenangan dengan majoriti yang begitu besar.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, khususnya para pengundi, yang telah memberikan mandat besar ini.
"Walaupun saya tidak menjangkakan kemenangan yang sebegini besar, amanah ini menjadi tanggungjawab kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional untuk menghebatkan semula pentadbiran Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Mengulas dakwaan bahawa kemenangan besar BN boleh memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, Jalaluddin berkata keputusan rakyat di Negeri Sembilan sendiri telah menjawab segala persepsi tersebut.
Beliau berkata mandat melebihi dua pertiga yang diberikan pengundi membuktikan rakyat menyokong kerjasama antara BN dan PN, sekali gus berharap semua pihak menghentikan naratif negatif yang dimainkan sepanjang kempen dan memberi tumpuan kepada usaha memajukan negeri.
“Kita pandang ke hadapan, bersatu semula dan memberikan khidmat kepada rakyat. Yang paling penting, memastikan kemakmuran Negeri Sembilan menjadi tanggungjawab bersama,” tambahnya.