Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Tok Mat sah berdepan saingan satu lawan satu di DUN Rantau

REMBAU, 18 Julai -- Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengiringi Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, ke Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini.  Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO tiba bersama Datuk Jaffry Arifin di Dewan Seri Rembau kira-kira 8.40 pagi sebelum mengiringi Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, memasuki Pusat Penamaan Calon.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad diiringi oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahidi semasa proses penamaan calon, pada Sabtu. - Gambar Bernama
Advertisement

REMBAU: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sah berdepan pertandingan satu lawan satu bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Perkara itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rembau, Mohd Zamri Mohd Esa, selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi, Sabtu.

Mohd Zamri ketika pengumumannya memaklumkan, Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang mewakili parti itu akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Dr Azizul Hakim Mahdi.

“Saya menerima dua kertas penamaan calon. Yang pertama ialah calon PH pada jam 9.03 pagi, diikuti calon BN pada jam 9.09 pagi.

"Saya sudah meneliti semua kertas penamaan calon dan tiada satu pun ditolak," katanya dalam pengumuman ringkas di Pusat Penamaan Calon Parlimen Rembau di Dewan Seri Rembau, pada Sabtu.

Pada PRN 2023, Mohamad yang juga Menteri Luar memperoleh 16,957 undi untuk mengekalkan kerusi DUN Rantau selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Rozmal Malakan yang meraih 6,677 undi dengan majoriti 10,280 undi.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau telah menyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004 dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 2004 hingga 2018.

DUN Rantau merupakan antara empat kerusi di bawah Parlimen Rembau yang melalui proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, selain DUN Kota, Chembong dan Rembau.

Dengan pengesahan pertandingan satu lawan satu itu, perhatian kini tertumpu sama ada Mohamad mampu mengekalkan kubu kuat BN di Rantau atau PH berjaya memberi saingan dengan mengurangkan majoriti jumlah undi di kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 18 Julai sebagai hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan, manakala pengundian dijadual berlangsung 1 Ogos.


Ends

Must Watch Video

Advertisement