KUALA LUMPUR: Para pengundi Negeri Sembilan berpeluang menunjukkan sokongan padu rakyat negara ini dalam ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak tunduk ke atas tekanan Amerika Syarikat (AS) dengan mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Pada masa sama, PRN ini juga boleh digunakan untuk menyampaikan sokongan rakyat dalam usaha Perdana Menteri memerangi rasuah, anti-sakau dan kerja keras selama hampir empat tahun lalu membangunkan ekonomi ke tahap yang disegani oleh pihak luar.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, penghargaan dan sokongan itu boleh ditunjukkan oleh rakyat Negeri Sembilan pada 1 Ogos dengan mengundi Pakatan Harapan (PH), selain mengukuhkan kestabilan politik negara di tengah-tengah kemelut politik dan sosial yang melanda.
“PRN ini sebagai platform untuk mendapatkan mandat moral daripada rakyat terhadap kepimpinan Anwar termasuk pendiriannya dalam isu antarabangsa, usaha membanteras rasuah, memperkukuh tadbir urus, serta memulihkan ekonomi negara.
“Bagaimanapun, para pengundi juga akan mengambil kira faktor prestasi kerajaan negeri, kredibiliti calon, isu kos sara hidup, peluang ekonomi dan sejauh mana dasar yang dilaksanakan benar-benar dirasai memberi manfaatnya kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Anwar menegaskan, Malaysia akan mengusir serta-merta sebarang warga negara Israel yang dikesan menyertai program Network School di Forest City, Johor.
Susulan itu, lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara, Marco Rubio, bagi menyuarakan tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas Anwar mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Mereka adalah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.
Dalam pada itu, Mashitah berkata, sekiranya pengundi melihat terdapat kesinambungan antara kestabilan politik, prestasi pentadbiran dan kesejahteraan rakyat, ia berpotensi memberi kelebihan kepada PH.
Namun, katanya, keputusan akhir adalah tetap bergantung kepada pertimbangan menyeluruh para pengundi terhadap isu-isu yang paling dekat dengan kehidupan mereka masa kini.