KUALA PILAH: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan ahli UMNO agar tidak menyerang kepimpinan parti sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebaliknya, bekas Naib Presiden UMNO itu menegaskan, dalam pilihan raya, serangan perlu ditujukan kepada musuh, dan bukannya sesama sendiri.

"Yang penting jangan kita dalam parti, serang parti sendiri, serang pemimpin (sedangkan) kita satu parti.

"Tetapi kerana mungkin dia kem lain, dia serang orang yang bukan kem dia. Akhirnya yang rugi adalah UMNO.

"Orang akan lihat UMNO tak habis-habis bergaduh sesama sendiri. Saya takut perkara ini berlaku.

"Orang UMNO, saya menyeru jangan serang sesama sendiri kerana dalam pilihan raya, musuh kita jelas siapa. Jadi, kita serang musuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sepetang Bersama Calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman di Kuala Pilah pada Isnin.

Mengulas kemungkinan adanya sabotaj daripada ahli UMNO yang dipecat atau digantung, Ahli Parlimen Bera itu menegaskan mereka berhak untuk buat apa sahaja kerana sudah tidak lagi bersama parti.

"Tak kan bila kita pecat dia, kita tak bagi dia berkempen di mana-mana parti.

"Kalau kita tak nak dia berkempen dengan mana-mana parti, jangan pecat, gantung sampai enam tahun dan sebagainya.

"Dia boleh kata masih berminat dengan politik, tak kan nak tidur sahaja. Itu hak dia sebab dia tidak bersama kita.

"Jangan anggap dia orang UMNO, kenapa serang UMNO. Mereka bukan lagi ahli UMNO. Hak dia nak memilih, dia sudah berada luar," ujarnya.