MARANG: PAS mengakui parti itu berdepan kesukaran bagi mencapai sasaran 30 peratus calon muda untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata untuk PRN kali ini, kemungkinan besar calon muda yang akan diketengahkan PAS hanyalah sekitar 10 peratus.

"Kalau kita ambil ucapan dasar Presiden PAS beberapa tahun lepas iaitu kita sasarkan 30 peratus calon muda, tapi saya tak fikir ia boleh dicapai baik dari aspek muka baharu atau calon muda... kalau dapat 10 peratus pun dah okey.

"Kita (PAS) sentiasa harapkan supaya dapat ketengahkan seramai mungkin pemuda atau anak muda yang tidak semestinya mewakili Pemuda PAS, namun ia bergantung kepada keputusan pimpinan di peringkat akhir yang sudah tentunya mahukan calon boleh menang," katanya.

Beliau kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Jentera PRN Pemuda PAS Terengganu oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata walaupun dengan mengetengahkan lebih ramai calon muda akan membuat pengundi muda rasa lebih dihargai, calon boleh menang masih menjadi faktor utama pemilihan calon di sesuatu kawasan.

"Sebab di Kelantan dan Terengganu ini, calon yang nak diletakkan itu bukan calon Touch 'n Go atau hit and run, bila lepas kita letak tu, hilang entah ke mana.

"Kita akan letakkan calon yang merupakan anak tempatan yang sudah dikenali pengundi tempatan dan berpotensi menang," katanya.

Selain Terengganu dan Kelantan, empat negeri lagi yang akan terlibat dengan PRN akan datang ialah Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sementara itu, ditanya mengenai pembatalan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kuala Terengganu oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu semalam, beliau berkata PAS menghormati keputusan itu.

"PAS sendiri akan failkan rayuan dan dapatkan perintah sementara untuk kekalkan Ahli Parlimen yang ada sebelum rayuan diangkat ke Mahkamah Persekutuan, mengikut undang-undang pilihan raya," katanya.

Beliau berkata Pemuda PAS juga sentiasa bersedia jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) membabitkan pembatalan kerusi dimenangi Ahmad Amzad.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad selepas mendapati pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

-- BERNAMA