PEDU: Kawasan Pedu mempunyai potensi yang besar untuk dijadikan hab pengeluaran getah asli berikutan faktor kedudukannya yang kaya dengan penghasilan getah, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Justeru, andai diberi peluang dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) kali ini, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu itu berhasrat untuk menjadikan Pedu sebagai lubuk pengeluaran hasil getah.

Menurut beliau, perancangan untuk meneruskan hasrat tersebut telah mula dirangka sejak tahun 2018 dan ketika ini sedang menantikan sumber elektrik untuk merealisasikan matlamat berkenaan.

“Tapak sudah siap cuma kita sedang menunggu bekalan elektrik dan kita juga telah mempunyai beberapa pelabur untuk masuk sementara menantikan bekalan elektrik yang mencukupi.

“Saya jangkakan dalam masa setahun atau dua tahun lagi kawasan ini sudah lengkap dengan kilang dengan keberadaan pelabur bagi pelan jangka masa panjang.

“Contohnya, nak buat tayar kereta, sarung tangan atau apa-apa alat yang berasaskan getah perlu datang ke Pedu kerana Kedah utara ini merupakan kawasan pengeluaran getah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujarnya lagi, pelbagai bentuk peluang khsususnya pekerjaan akan dapat dilahirkan yang seterusnya akan memanfaatkan pelbagai pihak terutamanya generasi muda.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu berkata, pengalaman sewaktu membangunkan Taman Teknologi Kulim akan menjadi bonus kepadanya dalam mencapai sasaran tersebut.

Selain itu, menyedari Pedu sebagai kawasan pedalaman, beliau mengakui, wujud beberapa kawasan yang masih belum menerima akses jalur lebar sepenuhnya dan ini merupakan salah satu isu yang akan diushakan.

Sehubungan itu, isu capaian internet secara meluas penting untuk disediakan kerana usaha tersebut juga merupakan salah satu inisiatif bagi memperkasa sektor pendidikan yang lebih terarah kepada digital.

Selain hasrat untuk merealisasikan projek mega itu, Mahdzir juga tidak akan mengetepikan soal pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman itu.

Menyentuh pertembungan PRN15 kali ini, bekas Menteri Besar Kedah itu sedia maklum situasi kali ini agak berbeza termasuk misi utama untuk BN dan Pakatan Harapan (PH) menguasai pemerintahan kerajaan negeri.

“Kalau dulu (PRU14) kita ada saingan tiga penjuru tetapi kali ini situasinya telah jauh berubah. Dulu ada pertembungan melibatkan BN, PH, dan juga PN (Perikatan Nasional) namun kali ini berbeza kerana telah ada gabungan baharu.

“PRU14 merupakan usaha bentuk kerajaan di peringkat Persekutan dan kali ini kita cuba untuk menguasai kerajaan negeri. Di peringkat Persekutuan sudah selesai (mandat) dan sekarang kita bersaing untuk takluk kerajaan negeri,” jelasnya lagi.

Pedu menyaksikan pertembungan satu lawan satu melibatkan beliau yang akan berentap dengan calon PN yang juga merupakan penyandang di kerusi berkenaan iaitu Mohd Radzi Md Amin.

Sabtu ini (12 Ogos) merupakan tarikh penentu sama ada Mahdzir atau lebih mesra disapa sebagai Tok Det dalam kalangan orang tempatan berjaya untuk merampas semula Pedu yang pernah dimenanginya pada 2004 lalu.