ALOR SETAR: Proses pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah kini hampir selesai sepenuhnya.

Menurut Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, hanya perbicangan di dua kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN telah dipanjangkan dan dibawa ke kepimpinan tertinggi kedua-dua parti di peringkat Pusat bagi menentukan keputusan akhir serta menyelesaikan perkara berkenaan.

Tambah beliau, situasi berkenaan berlaku susulan terdapat pertindihan tuntutan daripada pihak BN dan juga PH di dua kerusi berkenaan.

Jelas bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu lagi, perbicangan kedua-dua parti itu juga banyak menjurus kepada usaha bagi memastikan representasi atau wakil daripada BN dan PH yang seimbang di kesemua 15 Parlimen di Kedah.

"Kerusi penyandang memang hak kepada parti (yang menang pada Pilihanraya Umum ke-14) itu, tetapi dalam (perbincangan antara BN dan PH) ada juga (keputusan) terletak kepada budi bicara,

"(Perkara ini) disebabkan, (ia) melibatkan representasi parti di suatu tempat (atau Parlimen), apabila ada Barisan Nasional, ada (juga) Pakatan Harapan dis itu, jadi apabila (ada) Pakatan Harapan, ada (juga) Barisan Nasional, jadi (perkara) itu nampak setakat ini okey, lebih kurang macam itu kita punya usaha (untuk) ke arah itu," kata beliau.

Mahdzir berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Penyediaan Manifiesto Barisan Nasional Kedah sempena Pilihan Raya Negeri di Pejabat UMNO Kedah, Bangunan Tunku, Alor Setar malam tadi (Jumaat).

Mesyuarat berkenaan, jelasnya, banyak menyentuh kepada penawaran baharu daripada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya BN dalam merencana pelan melibatkan golongan wanita, belia, dunia digital, pembangunan ekonomi, pelancongan, pertanian, pendidikan serta kesejahteraan rakyat.

Pada Selasa, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan menuntut bilangan kerusi yang lebih besar berbanding dengan parti-parti lain adalah perkara biasa yang menjadi adat dalam proses rundingan untuk menghadapi pilihan raya termasuk melibatkan PH dan BN di negeri itu.

Bagaimanapun, jelas bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, perkara tersebut boleh diselesaikan dengan kedua-dua pihak mencari titik persamaan selain mengetepikan perbezaan.
Mahdzir sebelum itu menjangkakan pembahagian kerusi antara gabungan berkenaan dengan PH melibatkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah bagi menghadapi PRN adalah hampir 'sama-rata'.