KUALA LUMPUR: Kalangan pemerhati politik berpandangan ramai pengundi terutamanya daripada kaum Melayu masih memerlukan 'sentuhan' ataupun pendekatan kempen secara bersemuka ketika pilihan raya, lantas tempoh kempen selama 14 hari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri dilihat bertepatan, walaupun dengan kewujudan media sosial.

Penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata tarikh mengundi yang jatuh pada hari Sabtu juga akan membolehkan pengundi-pengundi yang merantau untuk pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab mereka mengundi.

"Untuk PRN ini SPR nampaknya sangat komprehensif dari sudut pemilihan tarikhnya, kerana akan beri ruang untuk orang balik mengundi. Jadi tidak akan ada rungutan, dan sudah pasti ia akan menyumbang kepada peningkatan peratus yang keluar mengundi," katanya.

"Jadi tidak akan timbul isu seperti Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang dibuat pada hari Rabu. Ia nampak seolah-olah mahu menghalang orang balik kampung untuk mengundi," katanya ketika diminta mengulas mengenai pengumuman tarikh PRN di enam negeri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu.

Pandangannya itu disokong Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis yang berkata pemilihan tarikh itu telah mengambil kira kemudahan pengundi untuk keluar mengundi.

Namun begitu katanya aspek pemantauan dan penguatkuasaan perlu diberi penekanan oleh pihak berkuasa dan SPR sepanjang tempoh berkempen bagi mengelak isu-isu sensitif daripada dibangkitkan sebagai bahan kempen oleh calon-calon.

"Aspek pemantauan dan penguatkuasaan ini perlu bagi memastikan sepanjang kempen isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian dan menyentuh sensitiviti mana-mana kaum dielakkan, memandangkan ia telah ditegur oleh pihak istana," katanya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh hari ini mengumumkan 12 Ogos sebagai tarikh mengundi bagi PRN yang dilaksanakan serentak di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos, melibatkan kira-kira 9.7 juta pengundi.

-- BERNAMA