KUALA LUMPUR: Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan kempen satu undi untuk PH bersamaan satu undi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Setiausaha Bersatu Bahagian Ampang, Faizan Mohd. Nor mendakwa naratif sedemikian digunakan untuk memancing undi Melayu kerana gabungan parti itu sudah kehabisan modal, selain takut undi Melayu beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

"BN semakin bimbang (kerana) dahulu mereka melawan PH 'No Anwar No DAP'. Sekarang sudah tiada modal takut undi Melayu ke PN, dan tukar naratif '1 undi PH bersamaan 1 undi Zahid'.

"Kebimbangan PH semakin mendesak apabila melihat sokongan Melayu kepada PN semakin meningkat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam pada itu Faizan mendakwa, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN memerlukan PH demi kelangsungan karier politik beliau, terutama 47 kes mahkamah yang sedang dihadapi ketika ini.

Bagaimanapun, dia menegaskan, rakyat terutamanya orang Melayu tidak sepatutnya dijadikan sebagai kambing hitam.

"Sememangnya kita tahu, DAP masih tegak dengan prinsip 'Malaysian Malaysia'. Begitu juga PKR masih dengan prinsip liberalisasi.

"Tidak ada kaedah lain hanya naratif '1 undi PH bersamaan 1 undi Zahid' yang mampu diguna pakai sebagai modal politik yang mahu memerangkap pengundi Melayu untuk menyokong mereka," jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kempen 'Salam 5K' berkaitan antaranya berkaitan 'khianat dan kelentong' yang dimainkan beberapa pemimpin PN, Faizan berkata kempen tersebut membantu kerana ia tidak menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan Institusi Diraja).

Katanya lagi, pengundi sedar bahawa PH bukan sebuah gabungan yang kukuh seperti yang digambarkan kerana beberapa pemimpin DAP didakwa mula mempersoalkan pemimpin UMNO sebagai liabiliti kepada PH.

"Sebahagian besar penyokong UMNO tidak lagi memberikan sokongan padu kepada PH. Selama ini yang mereka laungkan 'No DAP, No DAP' umpama meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri," tegasnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH menggunakan kempen ‘Satu undi untuk UMNO sama dengan satu undi untuk Zahid’ terutama dalam kalangan pimpinan utama PKR sehingga menyebabkan BN hanya mampu menang 30 kerusi Parlimen.

Ahmad Zahid pada November tahun lalu turut memberi reaksi berhubung kempen tersebut dengan mendakwa sebetulnya satu undi untuk PH bermakna satu undi buat DAP.