KEPALA BATAS: Proses rundingan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berhubung pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu berjalan lancar dan keputusan berhubung perkara tersebut akan dimuktamadkan selepas semua rundingan selesai.

Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, memandangkan proses tersebut masih berjalan, justeru tidak 'manis'dan tidak 'wajar' baginya untuk mendedahkan hasil perbincangan tersebut kepada umum buat masa ini.

Menurut Reezal Merican juga, perbincangan diadakan secara tertutup dan prosesnya berjalan baik tanpa ada sebarang masalah.

“Bila mana rundingan sedang berlaku, ada baiknya kita nantikan sehingga ia sampai ke tahap yang dimuktamadkan, amat tidak wajar (untuk) saya menceritakan (perkembangan awal)… apa yang boleh saya katakan perkembangannya sangat-sangat baik,” kata Reezal Merican.

Mengulas lanjut, Reezal Merican dalam masa sama berharap, kerjasama semua pihak akan memacu  negara ke arah yang lebih baik demi memastikan nasib rakyat terus terbela.

Semua berjalan lancar dalam soal pembahagian kerusi. Biar orang yang diberi mandate dalam tugasan ini (Datuk Seri) Tok Mat Hassan (Mohamad Hasan) dan pemimpin tertinggi (parti)… cuma saya boleh beri isyarat tidak ada benda yang tersekat, semuanya berjalan lancar.

“Keazaaman ini keazaman bersama, kita punya keazaman bersama yang kita ada di peringkat UMNO dan di kongsi rakan parti lain untuk kita pastikan gagasan perpaduan ini benar dapat jadi kerajaan bukan saja di peringkat Persekutuan tetapi juga di peringkat kerajaan negeri agar pembelaan untuk membawa negara ke mercu yang lebih baik dapat dilakukan secara sempurna,” jelasnya lagi.

Reezal Merican berkata demikian sebagai mengulas perkembangan rundingan antara UMNO dan PH dalam menghadapi PRN.

Beliau ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkannya di pekarangan Rumah Sejarah, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Zakiyuddin Abdul Rahman; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

PH dan UMNO Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat kedua minggu depan bagi meneruskan perbincangan pembahagian kerusi menjelang PRN.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau berharap mesyuarat itu akan membuahkan hasil dengan mendapat persetujuan kedua-dua pihak berhubung hal-hal berkaitan PRN.