Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Mohd Faizal terbuka terima cabaran Aminuddin di Linggi

Faizal Ramli, Linggi, BN
Mohd Faizal berkata, jentera BN telah memulakan gerak kerja lebih awal, namun kempen kini dipergiat selepas pengesahan rasmi calon. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

PORT DICKSON: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli mengakui berdepan cabaran besar mempertahankan kerusi itu apabila dicabar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Menurut beliau, kehadiran Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dan bekas penyandang DUN Sikamat menjadikan persaingan di Linggi lebih sengit, namun beliau menyambut baik pertandingan itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.

“Ini adalah satu cabaran yang begitu hebat kepada saya bagi mempertahankan kerusi Barisan Nasional, kenapa ia begitu hebat?

“Sebab calon yang menentang saya adalah seorang yang hebat juga... Menteri Besar, (dan) Ahli Parlimen Port Dickson yang datang ke Linggi.

“Saya sebagai penyandang, saya menyambut (baik) kerana ini adalah (proses) demokrasi (dan) kita terbuka, kita berlapang dada dengan siapa sahaja calon yang akan bertanding di Linggi,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, pada Sabtu.

Mohd Faizal berkata, jentera BN sebenarnya telah memulakan gerak kerja lebih awal, namun kempen kini dipergiat selepas pengesahan rasmi calon.

Beliau berkata, seluruh jentera BN yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC, selain rakan gabungan seperti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), akan digerakkan sepenuhnya bagi memastikan sokongan pengundi kekal memihak kepada BN.

“Kita akan terus turun padang untuk memastikan sokongan pengundi tidak beralih kepada parti lain dan seterusnya mempertahankan kerusi DUN Linggi,” katanya lagi.

Selain Aminuddin, Mohd Faizal juga berdepan saingan daripada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said, yang turut bertanding buat kali kedua di DUN tersebut.

Must Watch Video

Advertisement