PRN Sabah: 10,000 polis bertugas pastikan keselamatan

Menurut Saifuddin, anggota dari Pejabat Polis Kontinjen Sarawak juga akan digerakkan sekiranya terdapat keperluan untuk menambah kekuatan anggota bertugas sepanjang tempoh PRN berlangsung. - Gambar fail/Bernama
TAWAU: Kira-kira 10,000 anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula tarikh penamaan calon pada 15 Nov hingga hari pengundian 29 Nov ini.
Ringkasan AI
- Kira-kira 10,000 anggota polis akan bertugas sepanjang PRN Sabah dari 15 hingga 29 November, dengan kemungkinan bantuan anggota dari Sarawak jika perlu.
- Polis menjalankan latihan dan simulasi bagi memastikan keselamatan pengundi, perjalanan peti undi di kawasan terpencil, serta menjadikan pilihan raya sebagai pesta demokrasi tanpa ancaman atau ugutan.
- Program KDN MADANI turut dilaksanakan di kawasan luar bandar, dengan peruntukan RM1 juta untuk kemudahan kampung, sambil menekankan isu jenayah siber seperti penipuan atas talian yang semakin meningkat.
"Hal ini termasuk dari segi latihan, kesemuanya, terutama yang membabitkan mengawasi perjalanan peti undi, kawasan terpencil, kita telah menjalankan latihan dan simulasi, di samping taklimat bersama agensi lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI: Inspirasi Malaysia di Dewan Terbuka Merotai Besar di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata fungsi polis bukan sekadar mengenai keselamatan pengundi atau pemilih tetapi juga memastikan pilihan raya di Sabah dilihat sebagai 'pesta demokrasi'.
"Mereka harus merasa senang untuk keluar mengambil bahagian menjalankan tanggungjawab, tidak perlu ada kebimbangan dari sudut keselamatan, ancaman, ugutan. Itu adalah tugas hakiki pasukan polis," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Program KDN MADANI : Inspirasi Malaysia merupakan program turun padang dilaksanakan setiap bulan oleh agensi di bawah KDN untuk memberi khidmat langsung kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
"Begitu juga bila saya memperkenalkan tentang peranan pasukan polis, saya ambil peluang untuk menekankan tentang pola jenayah semakin mengancam sekarang yang perlu untuk dibimbangi dan masyarakat harus lebih waspada adalah penipuan atas talian.
"Ramai tertipu dan kerugian wang ringgit, polis, jurutera termasuk juruterbang, jenayah penipuan dalam talian ini semakin menjadi-jadi," katanya.
Menurut beliau, pada hari ini kementerian turun padang serta membawa peruntukan dengan tumpuan kepada beberapa kampung antaranya Kampung Kijang.
"Kemudahan termasuk masjid, sekolah, kemudahan tempat rekreasi orang kampung, sebanyak RM1 juta peruntukan diturunkan melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan untuk Program MADANI," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

