POLITIK
PRN Sabah: BN fokus menang, rundingan bersama GRS belum dimuktamad - Ahmad Zahid

Barisan Nasional telah menggerakkan kesiapsiagaan jentera pilihan raya di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang, kata Ahmad Zahid.
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) telah menggerakkan kesiapsiagaan jentera pilihan raya di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN kini memberi tumpuan kepada lokasi strategik yang berpotensi menang selaras dengan matlamat utama gabungan itu iaitu memastikan kemenangan dalam PRN tidak lama lagi.
“Kesiapsiagaan jentera di seluruh 73 Dewan Undangan Negeri di Sabah telah kita gerakkan sekian lama. Kita sedang melihat kawasan-kawasan tumpuan yang akan kita berikan di Sabah,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, pada Selasa.Dalam masa sama, beliau turut mengesahkan rundingan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan, manakala rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum mencapai kata putus.
“Kita telah memantapkan dan memuktamadkan rundingan dengan PH. Tetapi rundingan dengan GRS belum dimuktamadkan dan setakat ini kita menghormati kerjasama antara PH dan GRS,” katanya.
Beliau menegaskan, fokus BN juga adalah terhadap kerusi-kerusi yang diyakini mampu dimenangi dan strategi gabungan itu akan digerakkan berdasarkan potensi kemenangan di setiap kawasan.
“Kita telah memantapkan dan memuktamadkan rudingan dengan PH. Tetapi rudingan dengan GRS belum dimutamadkan dan setakat ini kita menghormati kerjasama antara Pakatan Harapan dan Gabungan Rakyat Sabah.
“Yang penting ialah soal kemenangan. Jadi kita lebih tumpukan kepada kerusi-kerusi yang kita boleh menangi dan itulah tumpuan kita,” katanya.
BN dan PH telah mengesahkan kerjasama rasmi bagi menghadapi PRN tersebut, manakala GRS turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan PH di peringkat negeri.
Awal bulan lalu, PH telah berunding dengan BN dan GRS bagi mencapai kata sepakat mengelak pertembungan di antara tiga gabungan itu pada PRN17.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman ketika ini dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga gabungan dapat bekerjasama menghadapi pilihan raya berkenaan.
Pada 18 Ogos, Anwar mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor di Pejabat Perdana Menteri, di sini.
Anwar menyifatkan pertemuan itu mencerminkan kematangan politik serta iltizam untuk memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami