WASHINGTON: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran menyeluruh kepada semua institusi kewangan pada Selasa, mengatakan ia bersedia untuk menggunakan sekatan sekunder ke atas mana-mana entiti yang dikenal pasti bekerja untuk menyokong aktiviti Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut jabatan itu, ia "bergerak secara agresif dengan ketegangan ekonomi" untuk mengekalkan apa yang dipanggil "tekanan maksimum ke atas Iran" ketika kebuntuan dalam rundingan langsung.
Advertisement
"Institusi kewangan harus menyedari bahawa jabatan itu memanfaatkan rangkaian penuh alat dan pihak berkuasa yang ada dan bersedia untuk melaksanakan sekatan sekunder terhadap institusi kewangan asing yang terus menyokong aktiviti Iran," katanya pada X.
"Kebenaran jangka pendek membenarkan penjualan minyak Iran yang sudah terkandas di laut akan tamat tempoh dalam beberapa hari dan tidak akan diperbaharui," tambahnya.
Jabatan itu merujuk kepada pengecualian 30 hari jangka pendek yang dikeluarkan pada 20 Mac untuk membenarkan penjualan minyak Iran yang sudah berada di laut, dianggarkan kira-kira 140 juta tong.
Tindakan itu diambil bagi mengurangkan lonjakan harga tenaga global yang disebabkan oleh keputusan AS dan Israel untuk berperang dengan Iran.
Perang, dan keputusan balas Iran untuk menutup Selat Hormuz serta menyasarkan infrastruktur tenaga di wilayah sekutu Arab Teluk AS, menyebabkan harga tenaga melonjak, terutamanya minyak.
Pengecualian itu ditetapkan tamat tempoh pada 19 April.
Rundingan langsung yang panjang antara AS dan Iran berakhir pada Sabtu, tanpa kedua-dua pihak mencapai kata putus untuk menamatkan perang secara kekal.
Presiden AS Donald Trump berkata awal Selasa bahawa beliau menjangkakan rundingan itu akan disambung semula di Pakistan dalam tempoh dua hari akan datang, walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat.
-- BERNAMA-ANADOLU