KUANTAN:Isu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan gabungan politik yang berdaftar tidak menjadi masalah kepada kemenangan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, ini kerana semua calon GRS yang bertanding pada PRN tersebut menggunakan simbol parti yang berdaftar iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah.

"Situasi ini sama seperti semasa Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana semasa itu, PH ialah nama gabungan dan mereka belum didaftarkan tetapi semua calon mereka bertanding menggunakan simbol parti berdaftar iaitu PKR.

"Jadi tiada beza di antara kedudukan GRS dan PH. Calon yang bertanding bagi PH menggunakan simbol PKR dan calon GRS juga menggunakan simbol parti berdaftar. Ini adalah strategi dalam pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mengacau Bubur Asyura di Masjid Jamek Beserah di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa tiada parti yang mendapat kemenangan mutlak pada PRN Sabah semalam, walaupun GRS memperoleh majoriti mudah dengan memenangi 38 daripada 73 kerusi kerana gabungan itu didakwa tidak diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai gabungan berdaftar.

Keputusan PRN itu menyaksikan SPR mengesahkan GRS memperoleh 38 kerusi manakala Warisan Plus mendapat 29 kerusi, PKR (2) dan UPKO (1) serta Bebas (3).

Saifuddin juga yakin GRS dapat menyelesaikan soal pelantikan ketua menteri dalam kalangan mereka.

"Ketua Menteri dilantik daripada kalangan ADUN (ahli Dewan Undangan Negeri) yang mendapat sokongan majoriti dan terserah kepada mereka untuk memilih, namun lazimnya akan ada rundingan. Sebab itu, semasa PH dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai Perdana Menteri walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia bukan parti terbesar (yang menang).

"Semasa itu, apabila dikumpulkan semua di bawah PH, mereka memang secara konsensus mahukan Dr Mahathir. Saya yakin mereka (GRS) dapat menyelesaikan soal pelantikan ketua menteri dengan kebijaksanaan mereka sesama sendiri sebagai rakyat Sabah," katanya.

Saifuddin yang bersyukur dengan kemenangan GRS juga berkata PRN Sabah merupakan petunjuk baik kepada PN mengambil kira ia parti yang baru didaftarkan dan pertama kali bertanding pada pilihan raya.