Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penubuhan Gabungan Rakyat Sabah, satu bentuk kerjasama antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ia bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 (PRN Sabah) kali ini.

"Semalam kami (semua parti) duduk bersama. Semua parti sudah sepakat untuk berjuang bagi membolehkan Sabah ini dibela dan dibangunkan.

"Keputusan yang dicapai ialah menamakan gabungan parti yang ada sebagai Gabungan Rakyat Sabah. Ini tanda bahawa kami bersatu hati untuk bersama-sama membentuk kerajaan pada 26 September nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pencalonan Pengerusi PPBM Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, di pejabat PPBM Tuaran, di sini, hari ini.

Selain Hajiji, turut hadir adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

LAPOR LANGSUNG: Proses penamaan calon PRN Sabah

BACA: Penamaan calon-calon PRN Sabah 2020 di sini


Muhyiddin berkata, Gabungan Rakyat Sabah itu akan memastikan kesemua parti dalam gabungan itu bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Setiap peringkat ahli-ahli parti, ketepikan segala perselisihan dulu untuk bentuk semangat baru, semangat itu ialah semangat Gabungan Rakyat Sabah.

"Kita mesti bekerjasama dengan UMNO, PBS, SAPP, STAR, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan MCA kerana satu parti tidak mungkin akan menang, Gabungan Rakyat Sabah saja yang boleh membentuk sebuah kerajaan yang kuat,” kata beliau lagi.