Kemenangan parti-parti kecil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah boleh menentukan nasib dan masa depan Perikatan Nasional (PN) atau Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk memerintah negeri itu.

Penganalisis politik, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi menegaskan, ia sudah terbukti dengan penyertaan mereka yang menyebabkan pertembungan pelbagai penjuru sekali gus merisikokan situasi pecah undi semasa hari membuang undi pada Sabtu.

"Parti kecil ini ada bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN) dan ada juga yang sokong Warisan. Ada pula yang dilihat berkecuali, tapi boleh kerjasama mana-mana pihak yang menang nanti, misalnya Parti Cinta Sabah, ia boleh kerjasama dengan UMNO atau kerjasama dengan PN atau PH bergantung kerusi mereka menang.

"Kalau kita lihat lagi kerusi lain yang bertanding, saya ingat PBRS misalnya saya kira Parti Bersatu Rakyat Sabah dianggap parti kecil untuk dapatkan satu kerusi agak payah

"Namun untuk parti seperti STAR saya kira ada beberapa kawasan, ada tiga kawasan boleh dimenangi," katanya semasa dihubungi di sini, pada Jumaat.

Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan kali ini.

Dalam pilihan raya ini, terdapat pertambahan sebanyak 13 kerusi baharu, hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya.
BACA SEMUA MENGENAI PRN SABAH 2020 DI SINI


Kerusi baharu itu merangkumi Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Seramai 1.12 juta pengundi layak mengundi pada PRN Sabah kali ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menegaskan lanskap politik negara kini sukar diramal dengan tetap selain melihat keberanian pengundi sendiri untuk membuat sebarang perubahan dalam pentadbiran kerajaan.

Tegasnya, peluang sentiasa terbuka kepada mana-mana parti kecil atau baharu untuk mendapat kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Bagi parti-parti baharu kita lihat, dalam suasana politik peluang terbuka kepada mana- mana parti politik tidak kira lama atau baru ditubuhkan.

"Sekarang tidak dapat buat bacaan politik tepat apa sebenarnya aspirasi pengundi sekarang ini. Satu ketika dahulu, mereka menolak parti yang sudah lama ditubuhkan.

"Pengundi berani buat perubahan total, mengubah terus BN sebagai kerajaan dan menaikkan parti-parti pembangkang sebagai kerajaan pada ketika itu," katanya.

Penubuhan PUTRA untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pendaftarannya diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 8 Mei 2019.