PRN Sabah: Parti lokal kekal dominan dalam GRS walau jalin kerjasama dengan PH - Joniston

Joniston berkata, GRS tetap komited mempertahankan dominasi itu, dan pada masa sama mengutamakan kestabilan politik negeri melalui hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan. -Foto Astro AWANI/Nasruddin Samad
KOTA KINABALU: Parti-parti tempatan di Sabah kekal dominan dalam pentadbiran negeri walaupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Ringkasan AI
- GRS menegaskan parti-parti tempatan kekal dominan dalam pentadbiran Sabah walaupun menjalin kerjasama dengan PH pada PRN17, dengan hampir 80 peratus jawatan dipegang oleh pemimpin tempatan.
- Hubungan baik antara GRS dan Kerajaan Persekutuan membuahkan hasil seperti peningkatan pemberian khas kepada Sabah dan kerjasama ekonomi melalui CCA dengan Petronas.
- Rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan PH dilakukan secara rasional berdasarkan kekuatan parti, dengan matlamat memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri.
"Untuk sekarang ini, parti tempatan memang sudah dominan. Jika kita lihat sejarah dulu, Ketua Menteri dipegang oleh parti dari Semenanjung atau nasional. Tetapi sekarang ini, Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) adalah daripada parti tempatan.
"Kita lihat juga dari segi jawatan-jawatan, kebanyakan atau hampir 80 peratus dipegang oleh pemimpin daripada parti-parti tempatan.
"Tetapi kerjasama ini tidak bermakna kita tunduk. Kita tegas tetapi tanpa tunduk kepada Kuala Lumpur, dan persefahaman (Kerajaan Negeri dan Persekutuan) itu ada," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata hubungan baik antara GRS dan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan semua tuntutan dan hak Sabah dapat ditunaikan, seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelas beliau, pendekatan berunding dan berhemah itu sudah mula membuahkan hasil ketara, termasuk peningkatan pemberian khas Kerajaan Persekutuan kepada Sabah daripada RM50 juta kepada RM600 juta, sementara menunggu penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Selain itu, katanya, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri dan Petronas telah membawa limpahan ekonomi yang besar kepada Sabah.
"Kita akan tetap lantang dalam memperjuangkan apa saja yang kita perlu perjuangkan, terutama sekali yang berkaitan dengan hak-hak dan kepentingan Sabah.
"Tetapi dengan cara dalam suasana yang harmoni sebab itu paling penting, dan kita sudah nampak hasilnya.
"Melalui perundingan yang baik dalam keadaan harmoni, dan bukan dengan cara yang boleh menimbulkan syak wasangka dan sebagainya. Jadi, ini pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah.
"Saya rasa ini yang rakyat ingin lihat hasilnya, dan bukan bagaimana lantangnya kita tetapi bagaimana kita meneruskan kelantangan kita bagi mendapat hasilnya. Kerajaan Negeri Sabah melalui GRS dan (kerjasama bersama) PH ini, ingin kekalkan supaya momentum pembangunan itu dapat diteruskan," tambah beliau.
Persefahaman dalam Pembahagian Kerusi
Mengulas mengenai persepsi bahawa kerjasama antara GRS dan PH akan menyebabkan parti-parti komponen tempatan perlu 'berkorban' dalam pembahagian kerusi, Joniston menegaskan bahawa perkara itu harus dilihat secara rasional dan berasaskan persefahaman.
Joniston menjelaskan bahawa rundingan dilakukan secara adil berdasarkan kekuatan dan kemampuan parti masing-masing.
"Apa maknanya kalau kita ingin banyak kerusi, tetapi mungkin kita bukan dalam kedudukan untuk memenangi kerusi itu. Akhirnya, pertimbangan-pertimbangan itu juga menjurus kepada keupayaan kita untuk memenangi kerusi-kerusi berkenaan.
"Apa yang kita ingin tekankan di sini ialah untuk kami di GRS, kita hanya ingin pastikan parti tempatan ini terus dominan tanpa menidakkan (kerjasama) kerana dalam PRN yang lalu PH juga ada memenangi beberapa kerusi dan itu juga kita ambil kira.
"Selain itu, pada 2023 (Langkah Kinabalu) dalam pertimbangan untuk memastikan kestabilan (Kerajaan Negeri) itu terus wujud, mereka (PH) bersama dengan Kerajaan GRS agar parti-parti tempatan yang menerajui ini dapat diteruskan," ujarnya.
Pada 22 Oktober lalu media melaporkan, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata rundingan pembahagian kerusi antara PH dan GRS kini berada di peringkat akhir.
Manakala, rundingan antara PH dan Barisan Nasional (BN) pula telah selesai sepenuhnya.
Pada PRN17, GRS dan PH mengekalkan kerjasama dalam usaha memenangi hati rakyat, dan sekali gus membentuk Kerajaan Negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN17 pada 29 November ini, manakala hari penamaan calon pada 15 November.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


