KUALA LUMPUR: Gagasan Rumah Bangsa membuka ruang seluas-luasnya kepada orang Melayu, termasuk mereka yang pernah meninggalkan parti atau tersisih, untuk kembali bersama dalam perjuangan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melalui Gagasan Rumah Bangsa yang diilhamkan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, UMNO kini bergerak ke arah penyatuan yang lebih inklusif.
Advertisement
"Dukunglah usaha menjadikan UMNO wadah utama politik Melayu, dan membinanya sebagai sebuah Rumah Bangsa.
"Tempat orang Melayu mencari keteduhan, kekuatan dan kehormatan. Dukunglah UMNO sebagai gerakan pembaharuan, yang menjadikan Islam sebagai inspirasi kemajuan, dan sebagai cara hidup yang sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Pembukaan Konvensyen UMNO ke-80 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, komitmen kepimpinan parti untuk membina UMNO sebagai sebuah gerakan pembaharuan yang berteraskan nilai Islam sebagai inspirasi kemajuan dan cara hidup yang sebenar, bukan sekadar retorik politik.
Beliau menambah, pendekatan politik yang dibawa UMNO perlu menjurus kepada persaingan melakukan kebaikan demi kepentingan bangsa dan negara, di samping menjadikan agama sebagai panduan dalam kepimpinan.
Selain itu, Mohamad berkata UMNO perlu "berhenti jual sejarah, sebaliknya mula menjual masa hadapan" bagi memastikan parti Melayu itu menjadi kalis masa.
"Kepimpinan parti yakin bahawa UMNO masih mempunyai dua kekuatan utama, untuk mengharungi cabaran semasa. Pertama, pengalaman luas dalam mengurus krisis.
"Pelbagai krisis telah kita lalui sebelum ini. Lalu kepimpinan UMNO memasang tekad, untuk mengurus krisis ketirisan kepercayaan terhadap UMNO, dengan segala pengalaman yang ada.
"Kedua ialah kesetiaan ahli. Kesetiaan ahli yang tidak berbelah bahagi. Humbanlah mereka ke mana sekalipun, mereka tetap yakin dan percaya kepada UMNO," katanya lagi.