Pas membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat demi memelihara permuafakatan bersama rakan sekutunya.

"Pas menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat untuk bertanding di keseluruhan 73 kerusi dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah (PRN Sabah), setelah usaha rundingan dimuktamadkan.

"Dalam hal ini, Pas mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dapat diserlahkan dalam PRN Sabah, demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik di masa mendatang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: PRN Sabah: BN, PN dan PBS setuju elak pertembungan calon

Bagaimanapun, Abdul Hadi memberi jaminan bahawa sokongan jentera dan ahli-ahli Pas dalam PRN Sabah tetap akan digerakkan mengikut keperluan di peringkat setempat.

"Keutamaan Pas adalah persiapan untuk menghadapi PRU-15 yang dijangka dalam masa terdekat, di samping komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional," katanya.

Sebelum ini, Setiausah Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa parti itu berhasrat untuk bertanding di 10 kerusi DUN pada PRN tersebut.

Kenyataan media yang dikeluarkan Hadi Awang hari ini.