PRN: Sabah tak 'ikut telunjuk' Persekutuan - Rubin Balang

Rubin (tengah) berkata hubungan baik antara GRS dengan Kerajaan Persekutuan tidak bermakna Sabah akan mengikut telunjuk Putrajaya - Foto Facebook Media Wakil Rakyat Kemabong
KOTA KINABALU: Hubungan baik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Kerajaan Persekutuan tidak bermakna Sabah akan mengikut telunjuk Putrajaya atau pemimpin di Kuala Lumpur, kata Datuk Rubin Balang.
Ringkasan AI
- Datuk Rubin Balang menegaskan hubungan baik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Persekutuan tidak bermakna Sabah akan mengikut telunjuk Putrajaya, sebaliknya kerjasama itu bertujuan memperkukuh pembangunan negeri.
- Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah itu menyokong gesaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor agar rakyat menolak pembangkang yang didakwa cuba memecahbelahkan Sabah demi agenda politik sempit menjelang PRN17.
- Rubin turut menggesa jentera pilihan raya turun padang di semua peringkat bagi menyampaikan maklumat tepat dan mematahkan dakyah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghasut rakyat agar menolak kerjasama negeri dan Persekutuan.
"Mereka juga telah mengatakan bahawa GRS (yang dipimpin oleh) Ketua Menteri ini telah dipegang oleh Kuala Lumpur, Persekutuan dan Perdana Menteri.
"Sebenarnya hasrat Ketua Menteri ialah untuk mengekalkan hubungan kerjasama yang baik antara Sabah dan Persekutuan. Ini tidak bermakna hubungan baik itu, kita ikut telunjuk, sebenarnya tidak," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Mengulas lanjut, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong itu berkata, semangat jentera pilihan raya di lapangan disifatkan sebagai berada pada tahap yang tinggi.
Begitu pun, beliau mengakui terdapat cubaan pihak tertentu untuk menghasut rakyat agar menolak kerjasama baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Memang kita lihat persiapan jentera di peringkat akar umbi begitu tersusun. Namun, tidak dinafikan wujud pro dan kontra, di mana ada pihak 'diapi-apikan', iaitu anti kepada Kerajaan Persekutuan.
"Tindakan itu sebenarnya adalah suatu hasutan yang tidak baik, dan ada (rakyat) yang sedikit sebanyak terpengaruh.
"Tetapi, sebilangan besar akan faham kerana kita, GRS ini berjuang untuk negeri Sabah serta kebaikan untuk rakyat. Ramai rakyat yang menyokong ke arah perjuangan GRS," ujarnya lagi.
Sedia pertahan kerusi
Sementara itu, Rubin yang merupakan penyandang DUN Kemabong memaklumkan beliau sedia mempertahankan kerusi tersebut, jika sekali lagi diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan sebagai calon pada PRN17.
Tokoh politik berpengalaman itu berkata berdasarkan rekod pilihan raya lalu dan sokongan semasa, beliau optimis mampu meraih kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
"Setakat ini di DUN Kemabong, rata-rata penyokong dan rakyat di situ minta saya bertanding semula dan itu tertakluk kepada Pengerusi GRS, sama ada beliau mencalonkan saya atau sebaliknya.
"Saya sudah bersedia untuk memikul tugas dan tanggungjawab sebagai calon GRS kerana jentera sudah siap siaga.
"Berdasarkan pengalaman saya di masa lalu yang bertanding sebanyak tujuh, saya menang di kerusi DUN Kemabong walaupun pernah kalah di peringkat Parlimen.
"Kalau saya buat perkiraan sokongan pada kali ini, ia lebih tinggi berbanding masa-masa yang lepas," jelasnya.
Rubin menambah sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk bertanding dan dipilih sebagai wakil rakyat, beliau komited meneruskan agenda pembangunan yang masih belum selesai di kawasan tersebut.
Menurut beliau, keutamaan akan diberikan kepada isu asas seperti bekalan air, jaringan jalan raya serta kemudahan pendidikan termasuk keadaan sekolah dan keperluan tenaga pengajar.
Selain itu, Rubin berkata aspek pembangunan ekonomi turut menjadi tumpuan, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memajukan kawasan pedalaman.
Pada PRN16 lalu, Rubin yang bertanding atas tiket Bebas menang dengan majoriti 1,012 undi menewaskan lima lagi pencabarnya iaitu Lucas Umbul (Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu); Raime Unggi (Barisan Nasional); Juster Peter (Parti Liberal Demokratik); Tay Jin Kiong (Parti Cinta Sabah); serta Rainus Sagulau (Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami