PRN Sabah: Tiada parti mampu bentuk kerajaan negeri sendirian - Penganalisis

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 pada 29 November depan. -Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Tiada mana-mana parti diramal mampu membentuk kerajaan negeri secara bersendirian selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ringkasan AI
- Tiada parti dijangka mampu membentuk kerajaan negeri Sabah secara bersendirian selepas PRN, memerlukan kerjasama antara parti untuk capai majoriti mudah.
- Peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus boleh menjadi petunjuk perubahan besar dalam landskap politik Sabah.
- Kajian GeoPes menunjukkan rakyat Sabah mahu perubahan kerajaan susulan isu berterusan seperti bekalan air, jalan dan elektrik.
"Mana-mana parti pembangkang sama ada pihak Parti Warisan (Warisan), waima Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), mereka tidak boleh membentuk kerajaan secara bersendirian.
"Ini perlu ada kolaborasi dengan parti-parti lain, baik pembangkang atau mungkin bebas untuk mereka mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN," katanya kepada Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.
Syahruddin menambah, jika situasi tersebut berlaku, rundingan antara parti-parti yang memperoleh kerusi perlu dilakukan bagi memastikan pembentukan kerajaan yang stabil dan mengelakkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan besar dalam landskap politik Sabah, jika peratusan keluar mengundi pada 29 November ini merekodkan peratusan 'luar biasa' atau melebihi 80 peratus.
Jelas beliau, kajian awal lapangan GeoPes menunjukkan wujud keinginan dalam kalangan akar umbi dan rakyat Sabah untuk mengubah keadaan sedia ada, mengambil kira permasalahan rakyat yang masih belum dapat diselesaikan seperti isu air, jalan, serta elektrik.
"Maka dengan itu, ada kelompok dalam kalangan masyarakat, mahu merubah kerajaan negeri ini kepada satu kerajaan lain, dengan harapan kerajaan baharu dapat mengubahnya," ujar beliau.
Mengambil contoh Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018, Syahruddin menjelaskan perubahan besar berlaku apabila kerajaan bertukar tampuk pimpinan.
"Kita lihat dalam mana-mana PRN, PRU atau Pilihan Raya Kecil (PRK), lazimnya petanda aras (keluar mengundi) ialah 70 peratus.
"Namun, jika lebih 80 peratus pada waktu-waktu tertentu pada hari mengundi, itu adalah petunjuk bahawa sesuatu yang luar biasa akan berlaku," tambah beliau.
PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November depan, dengan penamaan calon berlangsung pada 15 November.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami