PRN Sabah: UPKO kekal pendirian guna logo ‘Kinabalu’ - Ewon

Ewon bercakap selepas merasmikan Seminar Usahawan MADANI: Perniagaan Keluarga, anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kekal dengan pendirian untuk menggunakan logo ‘Kinabalu’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, manakala logo Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya di peringkat Parlimen.
Ringkasan AI
- UPKO kekal guna logo Kinabalu untuk PRN Sabah ke-17, manakala logo Pakatan Harapan (PH) digunakan bagi pilihan raya Parlimen, mencerminkan autonomi PH Sabah.
- Ewon Benedick tegaskan keputusan ini selari dengan keunikan politik Sabah dan tidak menjejaskan kerjasama dalam PH; pengagihan kerusi masih perlu dimuktamadkan bersama kepimpinan pusat.
- PRN Sabah ke-17 dijadual 29 November dengan 73 kerusi DUN dipertandingkan; PH bekerjasama dengan GRS dan BN, namun kedua-dua gabungan itu memilih haluan sendiri.
“Saya menghormati tatakelola parti-parti dalam PH tetapi untuk UPKO, apa yang telah diputuskan di PH Sabah, sepertimana disyorkan oleh Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri pada Mei lepas, PH Sabah mempunyai autonominya untuk membuat ketetapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Usahawan MADANI: Perniagaan Keluarga, anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), di Le Meridien, di sini, hari ini.
Ewon menambah keputusan parti itu mencerminkan keunikan politik Sabah serta autonomi PH Sabah dalam menentukan pendekatan terbaik bagi menghadapi pilihan raya negeri.
“Ini adalah satu keunikan politik Malaysia dan juga di Sabah yang harus mendapat pengiktirafan, persamaan dan penghormatan daripada semua rakan-rakan parti bukan hanya dalam gabungan tetapi di luar parti.
“Sudah tentu rakan-rakan komponen memberi maklum balas dan pandangan mereka mengenai keputusan kita menggunakan logo sendiri tetapi sehingga hari ini UPKO masih kekal dengan keputusan itu.
“Untuk PRN kita akan guna logo Kinabalu dan untuk pilihan raya Parlimen, kita akan guna logo Harapan, ini yang telah kita sampaikan kepada rakan-rakan dalam PH Sabah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, dalam PRN Johor pada 2022, PKR telah menggunakan logo sendiri, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menggunakan logo PH.
Justeru, ujarnya tiada kejanggalan untuk UPKO menggunakan logo sendiri mewakili PH di kawasan yang ditandingi pada PRN ini.
Mengenai rundingan pengagihan kerusi PH Sabah pula, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, walaupun sudah dimuktamadkan di peringkat PH Sabah, tetapi rakan-rakan parti dalam gabungan itu masih memerlukan perbincangan lanjut bersama kepimpinan tertinggi parti masing-masing di Kuala Lumpur.
Pada PRN17, PH bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, GRS dan BN masing-masing memilih haluan sendiri dan tidak menjalin kerjasama.
PRN17 dijadual pada 29 November ini, dengan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami