KUCHING: Polis membuka 46 kertas siasatan berhubung pelbagai kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kebanyakan kesalahan adalah melibatkan salah laku jenayah siber selain kesalahan fitnah.

"Setakat 13 Disember 2021, 46 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kesalahan seperti di bawah Akta Multimedia dan juga kesalahan fitnah.

"Ada juga kesalahan merosakkan poster atau sepanduk calon. Berbaki tiga hari kempen, kita giat melakukan pemantauan bagi memastikan setiap calon mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya ketika ditemui media di Mes Pegawai IPK Sarawak pada Selasa.

Selain itu, Aidi menambah, 2,265 permohonan permit diterima dan diluluskan polis Kontinjen Sarawak.

"Mengenai permohonan yang ditolak sangat sedikit... kurang daripada 10 permohon ditolak.

"Ini kerana ada beberapa permohonan yang tidak lengkap dan mengikut prosedur ditetapkan," katanya.