Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan untuk memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata, jika parti itu berjaya memenangi lebih daripada yang disasarkan, ia merupakan bonus kepada parti itu.

"Kami (PKR) masih kekal untuk bertanding di 40 kerusi yang telah kami kenal pasti.

"Kami menyasarkan untuk menang di tiga kerusi, tetapi kalau kami menang lebih daripada itu, ia merupakan bonus kepada kami," katanya pada Majlis Pelancaran "Kayu Keadilan" yang memberi peluang kepada rakyat menyampaikan harapan dan aspirasi kepada PKR.

Ujarnya, sasaran kerusi yang akan dimenangi bukanlah isu utama, sebaliknya fokus PKR adalah untuk menampilkan calon berwibawa bagi berkhidmat suara rakyat.

Mengulas berkenaan pengumuman calon-calon PKR, Baru berkata Presiden, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail akan membuat pengumuman tersebut pada satu majlis dalam masa terdekat.

Pada 2011, PKR memenangi dua kerusi luar bandar iaitu Ba'Kelalan melalui Baru dan Krian melalui Ali Biju, dan kerusi majoriti Cina, Batu Lintang dimenangi See Chee How.