KUCHING: Pengalaman terlibat dalam arena politik selama 30 tahun menjadi kelebihan kepada Yakup Khalid untuk berdepan saingan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak kali ini.

Bertanding atas tiket  Parti Sarawak Bersatu (PSB), Yakup, 58, mempunyai iltizam besar untuk berkhidmat kepada masyarakat di DUN tersebut, termasuk memastikan jaringan internet dapat ditingkatkan.

Komited dengan perkara itu, beliau berkata, ini kerana DUN Muara Tuang antara lokasi 'bandar ilmu' yang memerlukan kemudahan tersebut berada pada tahap yang baik bagi melonjakkan sektor pendidikan.

"PSB sebenarnya kita lebih tertumpu kepada pembangunan asas. Kita tidak akan pergi kepada pembangunan mega.

"Keperluan asas kampung perlu diutamakan, sebagai contoh di Muara Tuang ini, masalah besar ialah internet.

"Sedangkan Muara Tuang dipanggil sebagai bandar raya ilmu, ada universiti UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak), UiTM (Universiti Teknologi Mara), Maktab Perguruan, dan sebagainya.

"Tetapi nak cari 'signal' pun susah. Masih jauh ketinggalan (kemudahan akses internet) di Muara Tuang," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Pada PRN12, DUN N.16 Muara Tuang menyaksikan saingan enam penjuru iaitu membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Idris Buang; Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Ismawi Muhammad; dan Parti Amanah Negara (AMANAH), Daud Eali.

Selain itu, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Sigandam Sulaiman; BEBAS, Ismawi Muhammad serta Yakup (PSB).

Mengulas lanjut, ahli perniagaan itu berkata, usaha jangka panjang telah diambil oleh PSB untuk mengatasi masalah jaringan internet termasuk di kawasan yang ditandinginya.

"Kita sudah ada membuat perbincangan dengan telco (syarikat telekomunikasi), salah satunya adalah Maxis.

"Kita minta pengalaman dan pendapat mereka macam mana mengatasi masalah internet, sedangkan peruntukan kerajaan negeri sudah banyak keluar untuk membuat menara komunikasi, tetapi menara tersebut tidak berfungsi.

"Jadi, kita ada berbincang dengan Maxis macam mana cara kita untuk menyelesaikan masalah ini, dan idea mereka untuk menyelesaikan masalah internet di kawasan itu," ujarnya lagi.

Selain itu, Yakup berkata antara perkara lain yang bakal menjadi tumpuan beliau ialah melibatkan isu hak milik tanah.

Jelas beliau, wujud keperluan untuk membangunkan perkampungan baharu yang lebih tersusun di kawasan itu bagi mengelakkan kepadatan penduduk.

Ditanya mengenai saingan pada PRN12 pula, beliau berkata saingan sebenar bagi kerusi tersebut hanya melibatkan dua parti iaitu GPS dan PSB .

Bagaimanapun, Yakup menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan wakil rakyat yang bakal memimpin kawasan tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan PSB tidak seharus dilabel sebagai parti kaum Cina, sebaliknya parti itu memperjuangkan hak semua kaum.

Pada PRN11 Sarawak, Idris yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu selepas menewaskan Abang Abdul Halil Abang Naili (Amanah) dan Zulkipili Ramzi (PAS) dengan majoriti 10,086 undi.

PRN12 Sarawak ditetapkan pada 18 Disember ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Sarawak: SPR terima 349 kertas pencalonan, 10 parti bertanding