KUCHING: Dua 'datuk' bersaing untuk kerusi Dewan Undangan Negeri N.8 Satok, kerusi yang sebelum ini disandang Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menurunkan tokoh korporat, yang juga Timbalan Ketua Cawangan PBB, Datuk Ibrahim Baki.

Ibrahim Baki, 62, yang juga seorang pengamal undang-undang, merupakan Timbalan Setiausaha Agung parti PBB selain dilantik Ahli Lembaga Pengarah Petronas mewakili Kerajaan Sarawak.

Beliau akan ditentang calon Parti Keadilan Rakyat, yang bertanding untuk blok Pakatan Harapan Datuk Ir Nor Irwan Ahmat Nor.

Nor Irwan, 45, merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Sarjana Kejuruteraan (Pengurusan Kejuruteraan) dan Doktor Falsafah Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau juga pernah menjadi pensyarah sebelum terlibat dalam perniagaan.

Turut menghantar borang pencalonan ialah Naib Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Awang Badele Awang Ali.

Badele, 62, merupakan pesara kastam dan lulusan komunikasi dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau juga merupakan bekas Presiden Kesatuan Pegawai Kastam untuk 15 tahun.

Pada tahun 2016, DUN N.8 Satok dimenangi Abang Johari (BN-PBB) yang mengutip 8,547 undi, manakala lawannya, Mohamed Salleh Shawkatali dari PKR sekadar membawa pulang 1,809 undi.