SEMATAN: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi bayangan bahawa lebih 20 peratus calon baharu melibatkan calon belia bakal ditampilkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak, tidak lama lagi.

Menurutnya, calon-calon muda itu penting bagi menjamin kesinambungan perjuangan parti selain membawa input segar dari perspektif golongan muda yang membentuk lebih 40 peratus populasi negeri ini.

“Peratusan (calon baharu) saya belum melihatnya dari perspektif itu tapi sekurang-kurangnya saya percaya tidak kurang daripada 20 (peratus) muka-muka baharu baiknya daripada SUPP, PRS, PBB ataupun PDP.

“Tetaapi daripada jumlah tersebut, akan ada umur yang dikira agak muda lingkungan 30-an,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Program Ziarah Belia @ Tanjung Datu di Sematan Palm Beach Resort, hari ini. 

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak menambah, calon belia yang diangkat itu adalah belia yang berpengalaman dan kemahiran sama ada dalam kerjaya ataupun badan sukarela.

Pada masa sama, bagi calon-calon yang digugurkan, mereka ujarnya akur dengan keputusan parti.

“Mereka yang sudah berkhidmat sebagai wakil rakyat apabila dinasihatkan ataupun dimaklumkan bahawa mereka tidak akan dicalonkan, kita dapat melihat bahawa mereka akur. Ini adalah cara kita di Sarawak.

“Kemungkinan di tempat lain ada yang tidak puas hati mereka akan merosakkan atau melompat ke pihak sebelah untuk bertanding tetapi di Sarawak tidak berlaku macam ini kerana kita ada budaya kita sendiri baiknya dalam PBB ataupun parti-parti dalam GPS.

"Kita ada cara menyalurkan maklumat tersebut kepada calon-calon yang akan digugurkan,” katanya lagi.

Untuk rekod pada PRN Ke-11 Sarawak menyaksikan 10 calon muka baharu daripada sejumlah 40 calon bertanding yang dikemukakan oleh PBB pada tahun 2016.