KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin memenangi kesemua 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Keyakinan itu disandarkan Abang Johari dengan syarat semua parti komponen bekerjasama dan turun padang menyantuni rakyat.

“Insya-Allah (boleh menang) dan jika kita berjuang di medan perang (pilihan raya) dengan satu semangat dan satu pasukan, kita boleh sapu semua 82 kerusi,” katanya, di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera GPS PRN Sarawak ke-12, di sini.

Dalam pada itu, Abang Johari turut memberi jaminan bahawa rakyat negeri ini akan menikmati pembangunan sehingga 2030, jika mandat terus diberikan.

Ia berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang telah dirangka oleh kerajaan di bawah pimpinan GPS.

Dalam masa yang sama, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak sekali lagi menzahirkan terima kasih kepada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan Barisan Nasional (BN) kerana tidak meletakkan calon pada PRN kali ini.

Ini kerana, Abang Johari berkata Bersatu dan BN memahami keadaan politik di Sarawak, adalah berbeza dengan Semenanjung.

“Kenapa? Saya tahu mereka tahu politik Sarawak. Mereka tahu politik Sarawak berbeza daripada Semenanjung,” ujarnya lagi.

GPS sebelum ini mengumumkan akan bertanding di semua 82 kerusi pada PRN Sarawak ke-12.

Pengumuman penuh calon dijangka dibuat pada 4 Disember ini.

Pada PRN Sarawak ke-11, BN di bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.