GEDONG: Pengiktirafan Gedong sebagai daerah baharu dan pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan itu, bukan ‘gula-gula’ sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Sebaliknya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais menegaskan, ia adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri.

Katanya lagi, pembangunan di Gedong juga telah lama dirancang bagi memastikan pembangunan di kawasan luar bandar.

“Tidak saya tidak percaya… (gula-gula pilihan raya). Ini urusan yang benar.

“Kita ada watikah, perancangan yang diluluskan dan projek-projek yang saya sebutkan telahpun ada peruntukan dan pihak agensi-agensi berkenaan seperti JKR (Jabatan Kerja Raya) sedang membuat perancangan yang terperinci dan tender akan dikeluarkan dalam masa yang terdekat.

“Jadi ini bukan gula-gula pilihan raya, ini akan (jadi) nyata. Sebenarnya kita sudah rancang hampir satu tahun,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Ahad.



Mengulas lanjut, bekas Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan negeri itu berkata, tender-tender projek juga telah dikeluarkan bagi pembinaan infrastruktur seperti stadium, hotel serta pusat komuniti.

Dalam masa yang sama, Mohd Naroden turut menzahirkan keyakinan bahawa calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg mampu mempertahankan kerusi DUN Gedong.

Malah, beliau berkata Pengerusi GPS itu dijangka memperoleh majoriti lebih besar pada PRN12 Sarawak.

“Saya amat yakin, sokongan lebih kuat daripada sokongan yang diberikan kepada saya. Insya-Allah…

“Pilihan raya yang lalu saya mendapat majoriti 3,365, di mana saya dapat mengalahkan dua calon dan mereka hilang deposit.



“Sekarang dengan adanya YB Ketua Menteri, orang kuat… ada kuasa untuk meluluskan (pembangunan) dan beliau adalah orang nombor satu di Sarawak, saya rasa sokongan orang Gedong kepada beliau lebih kuat lagi.

“Saya yakin beliau akan dapat kemenangan dengan majoriti yang besar,” ujarnya.

Pada PRN kali ini, Abang Johari berpindah dari DUN Satok yang dipertahankan selama 40 tahun berturut-turut ke DUN Gedong yang merupakan kerusi luar bandar.

Mohd Naroden memberi laluan kepada Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu bagi membolehkan pembangunan di kawasan luar bandar dipercepat.