KUALA LUMPUR : Calon Bebas, Jame Stephen berharap dapat mentransformasikan Kemena sebagai sebuah kawasan yang berteraskan pertanian luar bandar dan eko-pelancongan, sekiranya diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Menurut Jame, daerah Kemena, Bintulu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan ke arah itu.

"Apa yang membuat saya bertanding kali ini dalam PRN12 Sarawak, dua tahun sudah saya meninjau kawasan Kemena, saya melihat banyak perkara yang kurang.

"Bukan tiada pembangunan, ada, tetapi lambat.

"Jadi kerana itu saya menyeru semua pengundi di N.69 Kemena, bersama memberi mandat kali ini kepada saya pada 18 December nanti," katanya dalam perkongsian mesej di media sosial baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, penduduk di kawasan Kemena boleh menjana pendapatan, sekali gus meningkatkan ekonomi di kawasan itu.

"Mengeksport produk pertanian dan perikanan ke luar negara, mempercepatkan bekalan air bersih, elektrik dan internet serta membaik pulih sekolah daif," antara tumpuan Jame sekiranya diberikan mandat nanti.

Antara lain, beliau turut akan memastikan program kesihatan B40, MySalam dan program kebajikan disampaikan kepada penduduk yang memerlukan selain memperluaskan program tuisyen kepada anak muda dan bantuan makanan dan bank makanan bagi keluarga dalam kumpulan rendah pendapatan.

"Hak milik tanah NCR pula, saya akan berusaha menangani isu tanah hak adat Bumiputera (NCR) rakyat Kemena dan projek perhutanan semula yang mampu memberi pendapat stabil kepada penduduk Kemena," tambahnya.

Pengundian bagi PRN12 Sarawak akan berlangsung pada 18 December ini dengan 83 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Ia membabitkan seramai 349 calon daripada 10 parti politik serta calon Bebas.