Ringkasan AI
- Pakatan Harapan Sarawak menegaskan keperluan pembangkang yang kuat di negeri itu walaupun bekerjasama dengan GPS di peringkat Persekutuan.
- Kelvin Yii berkata pembangkang berwibawa penting untuk semak dan imbang, terutamanya apabila kerajaan negeri menerima lebih banyak sumber dan hasil.
- Pembubaran DUN Sarawak diumumkan untuk memberi laluan kepada PRN ke-13, dengan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi pada PRN 2021.
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Sarawak memahami keperluan untuk mempunyai pembangkang yang kuat di negeri itu meskipun gabungan berkenaan bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kerajaan Persekutuan.
Setiausaha Publisiti DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, kerjasama politik di peringkat Persekutuan tidak bermakna kedua-dua gabungan perlu memainkan peranan yang sama di Sarawak.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, perbezaan kedudukan politik tersebut merupakan sebahagian daripada perkembangan demokrasi dan tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang bercanggah.
"Ini sebahagian daripada perkembangan demokrasi. Hanya kerana kita bekerjasama dalam kerajaan Persekutuan, tidak bermakna kita perlu bekerjasama dengan cara yang sama di Sarawak.
"PH Sarawak memahami keperluan untuk mempunyai pembangkang yang kuat demi kebaikan rakyat Sarawak," katanya dalam temu bual dalam talian bersama Astro AWANI hari ini.
Mengulas peranan pembangkang, Kelvin berkata, setiap masyarakat demokratik memerlukan kerajaan yang baik serta pembangkang yang kuat untuk melaksanakan semak dan imbang.
"Kita tidak boleh membiarkan Sarawak tanpa pembangkang yang berwibawa dan sebab itulah kita memilih untuk terus menjadi sebahagian daripada pembangkang di Sarawak," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui GPS mempunyai kedudukan dominan di Sarawak disebabkan beberapa faktor, selain terdapat dasar dan isu yang dibawa gabungan itu yang baik untuk rakyat.
Menurutnya, PH dan DAP Sarawak akan menyokong dasar yang memberi manfaat kepada negeri itu, namun pada masa sama memastikan pelaksanaannya benar-benar sampai kepada rakyat.
Kelvin berkata, keperluan semak dan imbang juga semakin penting apabila kerajaan negeri menerima lebih banyak sumber dan hasil, termasuk daripada kerajaan Persekutuan.
"Semakin banyak wang masuk ke dalam kantung kerajaan negeri, semakin besar keperluan untuk semak dan imbang serta memastikan wang tersebut dibelanjakan dengan sewajarnya," katanya lagi.
Beliau turut merujuk dakwaan perbelanjaan berlebihan dalam pembelian sebuah jet peribadi oleh kerajaan negeri sebagai contoh isu yang perlu dibangkitkan pembangkang.
Menurutnya, isu seumpama itu memerlukan pembangkang yang berwibawa untuk meminta kerajaan negeri meneliti semula kos dan prosedur pembelian berkenaan.
Kelvin berkata, aspek akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik merupakan antara perkara yang ingin diketengahkan DAP sebagai pembangkang di Sarawak.
Selain itu, beliau berkata, isu setempat seperti pengangkutan awam, banjir kilat, kesesakan lalu lintas, perjudian haram dan masalah bekalan air bersih juga perlu diberikan perhatian.
Semalam, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa Isnin, 26 Oktober, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.
Pengumuman itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Pada PRN Sarawak 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN, manakala PH memperoleh dua kerusi menerusi DAP di Padungan dan Pending.