GEDONG: Mahu berbakti kepada luar bandar sebelum bersara, menjadi punca Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg keluar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, zon selesanya untuk lebih 40 tahun.

"Terdapat pelawaan daripada kawasan lain tetapi akhirnya saya mempertimbangkan untuk berpindah ke DUN Gedong," katanya ketika bertemu jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, sebagai persiapan untuk proses penamaan calon hari ini.

Abang Johari akan menggantikan penyandang Datuk Mohd Naroden Majais, yang sebelum ini mengumumkan untuk mengundurkan diri.

Beliau mengikuti tradisi dua Ketua Menteri sebelum ini yang berpindah ke DUN luar bandar sebelum bersara.

Tun Abdul Taib Mahmud berpindah dari DUN Asajaya ke DUN Balingian sementara Tan Sri Adenan Satem berpindah dari DUN Muara Tuang ke DUN Tanjong Datu.

Hadiah awal perpindahan Abang Johari ke DUN baharu ini ialah naik taraf daerah kecil Gedong kepada daerah penuh, bersama-sama daerah kecil Sebuyau.

"Ini adalah keputusan kabinet untuk menaik taraf beberapa daerah kecil dan ini termasuk Siburan dan Balai Ringin.

"Ia adalah sejajar dengan tempo pembangunan yang telah meningkat di kawasan-kawasan berkenaan.

Kehadiran Abang Johari ditemani isterinya, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang dan ahli keluarga.

Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada Naroden yang akan terus membantu untuk membangunkan kawasan Gedong dan persekitarannya, biarpun telah bersara.

Sementara itu, Naroden dalam ucapan aluannya mengingat masyarakat di Gedong bahawa Abang Johari merupakan Ketua Menteri untuk seluruh Sarawak dan perlu berkhidmat untuk seluruh negeri, bukan hanya untuk Gedong.

Namun, beliau amat berharap keberadaan Ketua Menteri sebagai wakil rakyat Gedong akan mempercepatkan pembangunan kawasan tersebut.