KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) kesal dengan tindakan bekas calon Kuala Rajang, Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi yang membuat tuduhan secara terbuka bahawa parti itu memaksa beliau meminjam wang sebagai dana untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Majlis Presiden PSB dalam kenyataannya hari ini berkata dakwaan itu menimbulkan tanggapan negatif terhadap parti dan mempersoal motif sebenar tindakan Aditajaya berhubung perkara tersebut.

“Ia seolah-olah menunjukkan kami (PSB) membuli beliau (Aditajaya) hanya beberapa minggu sebelum PRN akan datang,” kata kenyataan itu.

BACA: Dakwa dipaksa tandatangani surat dengan 'money lender', Abang Aditajaya tinggalkan PSB

Tambah kenyataan itu, PSB kekal dengan pendirian bahawa parti itu menghormati hak sesiapa sahaja untuk menyertai atau meninggalkan PSB.

“Kami hanya mengeluarkan kenyataan ini untuk menjelaskan pendirian kami memandangkan Aditajaya dan orang yang berkaitan dengannya telah memilih untuk mengedarkan peletakan jawatan mereka melalui akhbar dan media sosial,” katanya.

Menurut kenyataan itu, PSB tidak pernah memaksa ahli untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan prinsip asas parti.

PSB sentiasa menghargai dan menjunjung kebebasan setiap individu untuk memilih termasuk kebebasan untuk mengambil bahagian secara bebas atau meninggalkan parti. 

“Apabila Aditajaya mengumumkan secara terbuka beliau akan menyertai PSB pada 27 November 2020 dan berikrar menyokong penuh PSB selepas meninggalkan PKR, itu adalah pilihan beliau sendiri.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Aditajaya tidak pernah menjadi ahli Majlis Presiden PSB, dan beliau menyedari sepenuhnya perkara ini sejak hari pertama beliau menyertai PSB, beliau hanya dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Presiden,” kata kenyataan itu.