KUALA LUMPUR: Selepas Dr Abang Ahmad Ridzuan Abang Awi, seorang lagi anggota Parti Sarawak Bersatu (PSB) meninggalkan parti itu ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) semakin hampir.

Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi menyerahkan surat peletakan yang dialamatkan kepada Presiden PSB Datuk Datuk Seri Wong Soon Koh.

Dalam surat bertarikh 18 November itu, Abang Aditajaya turut memaklumkan penarikan dirinya sebagai calon PSB bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang.

Dalam penjelasannya Abang Aditajaya berkata beliau tidak bersetuju dengan terma dan syarat yang ditetapkan PSB bagi menghadapi PRN12.

“Saya telah dipaksa namun menolak untuk menandatangani perjanjian dengan syarikat ‘peminjam wang’ bagi membiayai kempen.

“Ini jelas akan merosakkan sama sekali reputasi saya di mata pengundi dan ia bertentangan dengan ajaran agama Islam yang saya anuti,” tegasnya

Mengakhir suratnya, Abang Aditajaya berharap tindakannya ini tidak dikaitkan sebagai pengkhianatan kepada PSB kerana telah banyak berkorban wang masa dan tenaga untuk parti itu selama ini.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk PSB dalam PRN12 nanti,” ujarnya.

Rabu lepas, Dr Abang Ahmad Ridzuan yang dikhabarkan menjadi calon PSB di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro menarik diri daripada bertanding di kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Keputusan serta-merta itu disampaikan kepada Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh melalui surat bertarikh 9 November lalu.

BACA: PRN Sarawak: Abang Ridzuan tarik diri wakili PSB di DUN Beting Maro