KUCHING: Teka-teki mengenai calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok akhirnya terjawab apabila Datuk Ibrahim Baki disahkan akan bertanding bagi kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Beliau diangkat sebagai calon bagi menggantikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang akan bertanding di DUN Gedong pada 18 Disember ini.

Beliau ketika ditemui menzahirkan terima kasih kerana diberi kepercayaan pucuk pimpinan parti untuk menggalas khidmat kepada rakyat di Satok.

Menurutnya ia merupakan tanggungjawab yang besar kerana kerusi yang ditinggalkan merupakan kerusi yang disandang Pengerusi GPS dan Presiden PBB.

“Beliau (Abang Johari) telah meninggalkan ‘kasut’ (tanggungjawab) yang besar kepada saya.. ia sememangnya satu cabaran yang besar.

“Namun pengalaman saya lebih 36 tahun bersama Abang Johari akan digunakan dengan sebaiknya dalam meneruskan kelangsungan pembangunan secara holistik di kawasan itu,” katanya.

Tambah Ibrahim, sebarang perancangan dan pembangunan yang telah dilaksanakan dan sedang dibuat akan diteruskan.

“Tidak banyak perubahan, saya hanya meneruskan apa yang telah diusahakan menerusi aspirasi rakyat di Satok.

“Beberapa keutamaan akan diberikan tumpuan kepada usaha mengangkat imej Satok sebagai sebuah kawasan yang berkarakter selain menangani isu perumahan,” katanya.

Mengulas lanjut jelas Ibrahim, persekitaran tanah yang terhad di Satok akan diambil kira dalam usaha membangunkan lebih banyak kawasan kediaman untuk golongan B40 dan M40.

Ibrahim, 62, merupakan Timbalan Setiausaha Agung GPS memiliki pengalaman dalam politik Sarawak.

Malah beliau turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas.