Ringkasan AI
- Pemasangan bahan kempen PRN Sarawak ke-13 di kawasan Majlis Perbandaran Sibu wajib mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan tanpa pengecualian.
- Bahan kempen tidak dibenarkan di kemudahan awam seperti laluan pejalan kaki, pembahagi jalan, bulatan, pokok dan utiliti, serta mesti mematuhi syarat permit.
- Pelanggaran syarat permit boleh menyebabkan bahan kempen diturunkan dengan kos ditanggung pemegang permit dan denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.
SIBU: Pemasangan bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di premis parti politik dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) wajib mendapat permit pihak berkuasa tempatan.
Pengerusi MPS, Clarence Ting menegaskan, syarat itu terpakai kepada semua parti politik tanpa sebarang pengecualian.
“Semua ahli majlis diminta memaklumkan syarat berkenaan kepada parti politik masing-masing dan mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan ketika memasang bahan kempen pilihan raya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPS, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, pemasangan bahan kempen di kawasan kemudahan awam termasuk laluan pejalan kaki, pembahagi jalan, bulatan, pokok dan kemudahan utiliti adalah tidak dibenarkan.
Malah katanya, bahan kempen yang boleh mengganggu aliran trafik, merosakkan harta awam atau mengancam keselamatan orang ramai turut tertakluk kepada tindakan pihak majlis.
“Sebarang bahan kempen yang didapati melanggar syarat permit akan diturunkan oleh MPS dengan segala kos penurunan ditanggung oleh pemegang permit,” jelasnya.
Menurut Clarence, pihak yang melanggar Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Iklan Pilihan Raya) 1990 boleh didenda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, semua pemegang permit perlu memastikan bahan kempen serta struktur pemasangannya diturunkan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 24 Disember ini.