BELAGA: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengucapkan terima kasih kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Jelasnya,keputusan itu membuktikan bahawa keutuhan semangat setia kawan antara GPS dan Bersatu.

“Saya mengucapkan terima kasihlah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan bahawa Bersatu tidak akan menyertai PRN12.

“Kita kalau di peringkat pusat, kita adalah satu gabungan jadi semangat yang baik ini harus dikekalkan,” katanya.

Selain itu, Abang Jo juga menzahirkan ucapan sama kepada Barisan Nasional (BN) selepas membuat pengumuman untuk tidak meletakkan calon dalam PRN kali ini pada Sabtu.

“Begitu juga dengan pengumuman daripada Tan Sri Annuar Musa semalam bahawa BN tidak akan meletakkan calon dalam PRN kali ini.

“Saya yakin mereka memahami budaya dan politik di Sarawak.

“Biarlah orang Sarawak menentukan apa yang berlaku di Sarawak dan kita tetap boleh menjadi gabungan untuk sama-sama membangunkan Malaysia,” tambahnya.

Abang Jo berkata demikian selepas menyampaikan ucapan sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Asap, Belaga pada Sabtu.