SEREMBAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek mengakui terkejut apabila tidak tersenarai sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, berdasarkan rekod cemerlang ketika menjadi ADUN dan juga Exco Negeri, beliau hairan namanya digugurkan dan mendakwa keputusan itu bersandarkan politik semata-mata.

Dakwanya, ketegasannya bersuara isu rasuah, salah guna kuasa dan nepotisme mungkin menyebabkan ada menganggapnya sebagai ‘ancaman’ kepada kerajaan negeri.

“Saya dah duga perkara ini akan berlaku kerana ketegasan saya dalam beberapa perkara.

“Ketegasan dalam salah guna kuasa, berkaitan rasuah, ketegasan untuk tiada mana-mana individu mempunyai kuasa untuk memberikan projek di kalangan keluarga atau anak, abang.

“Itu sangat jelas. Ada orang yang berasa ini tidak baik kepada mereka,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.

Tegas beliau, sebagai orang lama dalam parti, termasuk sebagai pengasas Parti Keadilan Nasional pada 4 April 1999, beliau akan terus tegas bersuara dan berpegang kepada prinsip.

Dalam pada itu, ketika ditanya tawaran daripada parti lawan, Mohamad Rafie menegaskan sebagai antara pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), cintanya terhadap parti tetap utuh.

“Oleh kerana saya yang mengasaskan parti, sudah pasti saya menyayangi parti ini dan cuba menyelamatkan parti ini.

“Apatah lagi dengan individu-individu yang merosakkan parti, dengan mahu menolak kumpulan terbaik…saya nak baca hadis Nabi. Ini sangat penting.

“Apabila bagi tugasan kepada bukan ahlinya, tunggulah saat binasa. Saya tak mahu perkara ini berlaku,” ujarnya.

Tambahnya, mesej sudah dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berharap Presiden dapat membuat penilaian sebaiknya.