GEORGE TOWN: Pengundi di Pulau Pinang diminta menolak parti yang menggunakan isu sensitif termasuk perkauman dan agama dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi meraih undi.

Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tindakan sedemikian boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat di negeri itu.

"Banyak lagi isu yang boleh digunakan untuk berkempen dan kalau hendak mengkritik kerajaan negeri juga banyak perkara boleh dikritik seperti manifesto (Perpaduan Pulau Pinang 2023) yang kita bentangkan, Visi Penang2030 dan janji semasa pilihan raya 2018.

"Isu-isu ini boleh dikritik habis-habisan tetapi nampaknya mereka tidak dapat mengkritiknya sebaliknya menggunakan isu-isu kaum dan agama untuk meraih sokongan pengundi terutama pengundi Melayu," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Penang Global Tourism dan Trip.com Group.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu turut meminta semua jentera parti bekerja keras dan berkempen habis-habisan bagi memastikan negeri tersebut akan terus ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN kali ini, Chow yang mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Padang Kota yang dimenangi beliau sejak 2008 dicabar oleh H'ng Khoon Leng daripada Perikatan Nasional.

-- BERNAMA