IPOH: UMNO perlu mendengar suara akar umbi dan menunjukkan keikhlasan sekiranya mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam buah negeri.

Bekas Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah membuktikan kealpaan pimpinan dalam perkara itu membawa kekalahan besar kepada parti.

"PRN saya mohon cek betul-betul peringkat akar umbi, jangan dengar dua ke tiga orang bercakap sahaja yang kebanyakannya hanya jadi pengampu dan penyokong.

"Dulu semasa PRU15, semua dah dapat maklum balas dari peringkat bawah bahawa kita ada masalah, tetapi kita tak mahu dengar kononnya UMNO kuat dan boleh menang.

"Sekali kalah kerana jentera pilihan raya ketika itu tidak mendalami kemahuan dan masalah akar umbi," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TT Group Companies di Taj International College (TIC) di sini, hari ini.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, sebagai parti keramat orang Melayu, UMNO perlu bangkit semula melakukan gerakan yang boleh membangkitkan semangat dan keyakinan pengundi.

Sebaliknya, kata beliau, jika tiada perubahan, maka perjuangan Melayu yang dibawa UMNO akan berdepan halangan lebih berat pada masa akan datang.

"Walaupun keahlian saya dah digantung, sebagai orang Melayu saya ada hak untuk menyeru kepimpinan menangkan parti ini, jangan fikir benda lain kerana orang Melayu bergantung kepada UMNO.

"Walaupun sekarang dah terpaksa bekerjasama dengan DAP, UMNO mesti tegak atas kaki sendiri, mesti bangkit dan menang semula," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap MKT UMNO akan segera membuat keputusan muktamad berhubung rayuan terhadap penggantungan keahliannya selama enam tahun.

Tajuddin yakin, dengan keanggotaan yang bersifat lebih terbuka sekarang, MKT akan membuat keputusan positif bagi membolehkannya kembali aktif dalam UMNO.

Dalam masa sama, beliau akan akur dan menerima apa sahaja keputusan itu dengan hati yang terbuka.

"Saya tak boleh tinggalkan UMNO, saya sayangkan UMNO. Selama 50 tahun saya dengan UMNO, bukannya lima bulan, lima tahun, 15 tahun... 50 tahun.

"Saya diamkan diri bukan bermakna saya dah menyerah kalah. Saya tak menyerah kalah tapi... orang kata, langkah yang terbaik patut saya ambil buat masa ini eloklah kita cari langkah pendekatan berbaik-baiklah," katanya.

Sebelum ini, Tajuddin mengemukakan rayuan terhadap penggantungan keahliannya selama enam tahun dan mahu kembali aktif dalam parti itu.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksinya pula berkata, rayuan itu akan dirujuk kepada MKT untuk membuat keputusan.

Pada Oktober 2022, UMNO telah menggantung keahlian Tajuddin selama enam tahun.